Menjadi kolumnis merupakan obsesi sesetengah penulis. Maklumlah dengan menjadi kolumnis, dirinya lebih dikenali kerana muncul di dada akhbar atau majalah saban hari, saban minggu atau saban bulan. Ini tidak sama jika dia kekal menulis buku kerana bukan orang akan beli atau baca buku seseorang penulis itu.
Kolumnis cepat terkenal disebabkan pendapat yang ingin dilontar. Dia juga bebas menulia apa-apa sahaja kerana dia 'memiliki' ruang tersebut.
Tapi jangan lupa, menjadi kolumnis bermakna mengizinkan seluruh rakyat Malaysia menilai tulisan anda. Tak kira pak cik yang bersidai siang malam di kedai kopi, atau cendekiawan universiti, mereka akan menilai tulisan tersebut berdasarkan ruang lingkup ilmu yang mereka ada.
Saya, sebagai golongan marhaen, kadangkala turut menilai tulisan para kolumnis akhbar. Tidak perlukan ilmu yang banyak untuk mengetahui seseorang itu berpihak kepada parti yang mana satu. Mereka terang-terang mengakuinya melalui tulisan mereka. Tak tahulah, mungkin mereka bangga berbuat begitu. Atau secara tidak disedari, mereka tidak mengakui parti politik yang disokong tetapi tindakan menempelak pihak yang satu lagi dapat menjelaskan pendirian mereka.
Hari ini, ketika menyelak sebuah akhbar tempatan pada pukul 5.30 petang, saya rasa nak tergelak pula membaca satu ruangan 'itu'. Sebagai seorang kolumnis tentang cermin diri, ternyata penulis itu sendiri belum telus mencermin dirinya sendiri mahupun keadaan persekitaran. Cetek sahaja pemikirannya. Itupun boleh jadi kolumnis?
Dah rezeki dia, dan ruang itu ruangan dia...
Cuma, saya lebih suka jika semua kolumnis akhbar tidak memaparkan idea hanya untuk mengampu pihak-pihak berkenaan sahaja. Bukankah akhbar wajar memberikan ilmu yang lurus kepada para pembacanya? Jadi, laksanakanlah tanggungjawab tersebut dengan telus, supaya lulus pada perhitungan di hadapan ALLAH SWT nanti.
Yang penting, hidup kita bukanlah untuk memenuhi keperluan duniawi semata-mata. Walaupun tulisan kita itu bisu, ia berupaya mengubah ramai orang. Jadi, jika seseorang kolumnis itu bertujuan menyebarluaskan propaganda, boleh jadi agendanya itu akan berjaya jika yang membacanya adalah orang yang cetek akal juga.
Siapapun kita, biarlah kita menyumbang ke arah kebaikan. Kerana setiap huruf adalah saham untuk menuju akhirat, sama ada akhirat yang bahagia atau akhirat yang sengsara.