Showing posts with label warisan ilmu. Show all posts
Showing posts with label warisan ilmu. Show all posts

Thursday, July 29, 2010

DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT MALAYSIA

* DARJAH YANG MAHA UTAMA KERABAT DIRAJA MALAYSIA (D.K.M.) Darjah kebesaran ini mempunyai satu pangkat sahaja dan bilangan ahli-ahlinya terhad seramai sepuluh orang. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada setiap Baginda Raja yang telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

* DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.) Darjah kebesaran ini juga mempunyai satu pangkat sahaja. Bilangan ahli-ahlinya terhad kepada 30 orang, 15 daripadanya mungkin daripada Anak-anak Raja Negara Luar, Ketua-ketua Negara atau orang-orang yang amat ternama.



DARJAH-DARJAH YANG MULIA PANGKUAN NEGARA

* SERI MAHARAJA MANGKU NEGARA (S.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Pertama. Darjah kebesaran ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat. Penyandang Darjah ini membawa gelaran ‘Tun’ dan isteri penyandang bergelar ‘Toh Puan’.

* PANGLIMA MANGKU NEGARA (P.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Kedua. Darjah kebesaran ini membawa gelaran ‘Tan Sri’ dan isteri penyandang bergelar ‘Puan Sri’. Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 75 orang, tidak termasuk warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

* JOHAN MANGKU NEGARA (J.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Ketiga. Jumlah penyandang terhad kepada 1,000 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

* KESATRIA MANGKU NEGARA (K.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Keempat. Jumlah penyandang tidak terhad

* AHLI MANGKU NEGARA (A.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Kelima. Jumlah penyandang tidak terhad.

* PINGAT PANGKUAN NEGARA (P.P.N.) Ia merupakan pingat Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara. Jumlah penyandang tidak terhad.



DARJAH-DARJAH YANG MULIA SETIA MAHKOTA MALAYSIA

* SERI SETIA MAHKOTA (S.S.M.) Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Pertama. Anugerah ini membawa gelaran ‘Tun’ dan isteri penyandang bergelar ‘Toh Puan’. Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

* PANGLIMA SETIA MAHKOTA (P.S.M.) Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Kedua. Anugerah ini membawa gelaran ‘Tan Sri’ dan isteri penyandang bergelar ‘Puan Sri’. Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 450 orang, tidak termasuk anugerah kehormat yang dikurniakan kepada warganegara asing.

* JOHAN SETIA MAHKOTA (J.S.M.) Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Ketiga. Jumlah anugerah ini terhad kepada 1,200 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.



DARJAH YANG MULIA JASA NEGARA

* PANGLIMA JASA NEGARA (P.J.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Jasa Negara Pangkat Pertama. Anugerah ini membawa gelaran ‘Datuk’ dan isteri penyandang bergelar ‘Datin’. Keanggotaan dalam darjah ini terhad kepada 300 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.



DARJAH-DARJAH YANG AMAT DIHORMATI SETIA DIRAJA

* PANGLIMA SETIA DIRAJA (P.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Pertama. Jumlah anugerah ini terhad kepada 200 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat. Anugerah ini membawa gelaran ‘Datuk’ dan isteri penyandang bergelar ‘Datin’.

* JOHAN SETIA DIRAJA (J.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja pangkat Kedua.

* KESATRIA SETIA DIRAJA (K.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Ketiga.

* BENTARA SETIA DIRAJA (B.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Keempat.



DARJAH BAKTI

* DARJAH BAKTI (D.B.) “Berbakti Untuk Negara”. Ia dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang telah masyhur namanya di Malaysia dan juga di kalangan antarabangsa serta telah memberi sumbangan cemerlang dalam kemajuan seni, sains dan kemanusiaan. Anugerah ini adalah dihadkan kepada 10 orang sahaja.



DARJAH-DARJAH GAGAH PERKASA

* SERI PAHLAWAN GAGAH PERKASA (S.P) Ini merupakan anugerah yang tertinggi sekali dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah Persekutuan. Bintang Kehormat ini dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani serta penuh pengorbanan.

* PANGLIMA GAGAH BERANI (P.G.B.) Dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa dalam menghadapi musuh.

* JASA PERKASA PERSEKUTUAN (J.P.P.) Juga dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa di luar medan peperangan.

* PINGAT TENTERA UDARA (P.T.U.) Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia kerana keperwiraan atau taat setia yang teristimewa ketika menjalankan kewajipan penerbangan dalam masa operasi ataupun tidak.

* KEPUJIAN PERUNTUKAN KEBERANIAN (K.P.K.) Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera dan Pasukan Polis yang telah menunjukkan atau melakukan sesuatu yang dianggap gagah berani tetapi tindakan itu tidaklah sebegitu tinggi untuk membolehkan mereka dikurniakan pingat.



BINTANG DAN PINGAT BAGI PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN KELAKUAN TERPUJI

* PINGAT KEBAKTIAN (P.K.) Dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota-anggota pasukan Tentera Sukarela dan Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

* PINGAT KHIDMAT BERBAKTI (P.K.B.) Dikurniakan kerana khidmat-khidmat am anggota-anggota Angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform

* PINGAT PERKHIDMATAN AM (P.P.A.) Dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota tetap Angkatan Tentera Persekutuan dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

* PINGAT PERKHIDMATAN SETIA (P.P.S.) Dikurniakan untuk menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota tetap Angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.



PINGAT-PINGAT PERINGATAN

* PINGAT PERINGATAN MALAYSIA (P.P.M.) Dibuat dalam tiga peringkat, iaitu emas, perak dan gangsa. Pingat ini khusus untuk mereka yang telah banyak memberikan khidmat cemerlang dalam usaha menubuhkan persekutuan Malaysia hingga 31 Ogos 1965.



SUMBER: Buku Cenderamata, Istiadat Mengadap Dan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Dan Pingat-Pingat Malaysia Pada 3 Jun 2000, ISTANA NEGARA, Kuala Lumpur.



SUSUNAN KEUTAMAAN BAGI ANUGERAH-ANUGERAH PERSEKUTUAN


1 SERI PAHLAWAN GAGAH PERKASA S.P.

2 DARJAH YANG MAHA UTAMA KERABAT DIRAJA MALAYSIA D.K.M.

3 DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA D.M.N.

4 SERI MAHARAJA MANGKU NEGARA S.M.N.

5 SERI SETIA MAHKOTA MALAYSIA S.S.M.

6 DARJAH BAKTI D.B.

7 PANGLIMA MANGKU NEGARA P.M.N

8 PANGLIMA SETIA MAHKOTA P.S.M.

9 PANGLIMA JASA NEGARA P.J.N.

10 PANGLIMA SETIA DIRAJA P.S.D.

11 JOHAN MANGKU NEGARA J.M.N.

12 JOHAN SETIA MAHKOTA J.S.M.

13 JOHAN SETIA DIRAJA J.S.D.

14 KESATRIA MANGKU NEGARA K.M.N.

15 KESATRIA SETIA DIRAJA K.S.D.

16 AHLI MANGKU NEGARA A.M.N.

17 PINGAT PANGKUAN NEGARA P.P.N.

18 BENTARA SETIA DIRAJA B.S.D.

19 PANGLIMA GAGAH BERANI P.G.B.

20 JASA PERKASA PERSEKUTUAN J.P.P.

21 PINGAT TENTERA UDARA P.T.U.

22 PINGAT KEBAKTIAN P.K.

23 PINGAT KHIDMAT BERBAKTI P.K.B.

24 PINGAT PERKHIDMATAN AM P.P.A.

25 KEPUJIAN PERUTUSAN KEBERANIAN K.P.K.

26 PINGAT PERKHIDMATAN SETIA P.P.S.

27 PINGAT PERINGATAN MALAYSIA P.P.M.

28 PINGAT-PINGAT PERTABALAN

Kesantunan Berbahasa Lambang Bangsa

1. Cara sapaan lisan/bertulis menurut Bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa.

2. Kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa.

3. Dalam kesantunan berbahasa, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri.

4. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama.

5. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan.

6. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar ``disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib.''

7. Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya  laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan adalah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya.

8. Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.

9, Lihat contoh berikut:


Pak digunakan untuk orang lelaki yang sama sebaya dengan ayah kendiri.

Mak digunakan untuk orang perempuan yang kira-kira sebaya dengan emak kendiri

Tok digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang kira-kira sebaya dengan datuk atau nenek kendiri.

Abang digunakan untuk orang lelaki yang tidak setua ayah kendiri dan juga tidak semuda kendiri.

Kakak digunakan untuk orang perempuan yang tidak setua emak kendiri dan juga tidak semuda kendiri.

Adik digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang lebih muda daripada kendiri.



10. Gelaran Pak atau Mak ketika berkomunikasi ditambah dengan Cik, menjadi Mak Cik atau Pak Cik

11. Jenama kekeluargaan terbahagi kepada:

i. Jenama kekeluargaan pertalian darah (Pak Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Lang, Mak Lang, Pak Njang, Mak Njang, Pak Cik, Mak Cik, Pak Su, Mak Su.

Gabungan nama kekeluargaan asas (Abang (bang) dan Kak dengan jenama kekeluargaan pertalian darah hanya terbatas kepada Long, Ngah dan Cik seperti Bang Long, Kak Long, Bang Ngah, Kak Ngah, Bang Cik dan Kak Cik.



ii. Jenama kekeluargaan ikatan perkahwinan

Diwakili oleh kata menantu, mentua dan ipar. (Pak Mentua, Mak Mentua dan Tok Mentua). Ipar digunakan untuk merujuk kepada ahli-ahli dalam keluarga suami atau isteri selain menantu dan mentua. Contoh: abang ipar, kak ipar, adik ipar, mak long ipar, mak ngah ipar dan sebagainya.


12. Gelaran Pergaulan Bebas

Biasanya Cik digunakan untuk perempuan yang belum berkahwin, manakala Encik untuk lelaki sahaja.


13. Gelaran Pergaulan Tak Bersahaja (Formal)

Tuan - digunakan untuk lelaki yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri, dan orang lelaki bergelar Haji, Doktor, Profesor dan Syed.

Encik, Cik - boleh digunakan untuk orang lelaki yag lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri seperti Encik Ahmad atau Cik Ahmad.

Puan - untuk perempuan sahaja yang pangkatnya lebih tinggi daripada kendiri, dan perempuan yang mempunyai gelaran Doktor, Profesor dan sebagainya.

Saudara - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang seumur dengan kendiri atau lebih muda, dan hubungannya belum rapat dengan kendiri atau digunakan dalam rujukan kepada ahli-ahli dalam mesyuarat, perbahasan dan sebagainya.

Saudari - digunakan untuk perempuan sahaja dalam konteks yang sama dengan penggunaan gelaran saudara.

Tetuan - hanya digunakan dalam surat rasmi yang ditujukan kepada para pemilik atau pentadbir syarikat perniagaan (termasuk syarikat guaman) seperti: Tetuan Syarikat Sinaran Sdn. Bhd.)


14. Gelaran Warisan

Contoh Raja (Perak, Selangor), Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda (Brunei Darussalam) Tengku (Kelantan, Pahang, Kedah, Terengganu).

Gelaran keturunan orang-orang besar; Megat dan Puteri (Perak), Nik (Kelantan), Wan (Kelantan, Terengganu), Abang (Sarawak); Datu (Sabah), Awangku, Pangeran dan Dayangku (Brunei Darussalam), Tan (di Kedah) dan Tun (Terengganu)

Gelaran warisan kepada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti Syed atau Sayid bagi lelaki dan Syarifah bagi perempuan. Sesetengah pihak mengatakan bahawa gelaran Syarif, Syeikh dan Siti juga tergolong ke dalam gelaran jenis ini.

Gelaran warisan daripada keturunan yang berasal dari luar Malaysia seperti Daeng (Bugis), Sidi, Sutan (Minangkabau), Teuku dan Teungku (Aceh).

15. Gelaran Kurniaan

Contohnya  Tun, Toh Puan, Puan Sri, Datuk (Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk Setia), Datuk (Datuk Patingi, Datuk Amar), Datin Paduka (gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan negeri Selangor), Toh Puan (isteri kepada Datuk di Terengganu)

Pendeta Za'aba (gelaran kurniaan yang diberikan oleh pertubuhan seperti Kongres Bahasa Melayu Ketiga (1956). Gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


16. Gabungan Gelaran

(a) kekeluargaan + keagamaan - Pak Haji

(b) Pergaulan Tak Bersahaja (kecuali saudara) + Keagamaan - Tuan Haji

(c) Kekeluargaan + warisan (hanya Ungku, Engku, Wan, Nik) - Pak Ungku, Mak Ungku, Mak Wan, Pak Nik

(d) Pergaulan Tak Bersahaja + Keagamaan + Warisan (hanya Nik). Contoh: Tuan Haji Nik

(e) Warisan (Kecuali Nik) + Keagamaan. - Raja Haji

(f) Kurniaan Kerajaan + Akademik/Ikhtisas + Warisan + Keagamaan - Tan Sri Prof. Raja Haji Osman


17. Rujukan Hormat Orang Yang Disapa Rujukan Hormat

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda

Sultan, Raja, Sultanah, Tengku Ampuan, Raja Permaisuri: Duli Yang Maha Mulia

Balu Raja: Yang Maha Mulia

Raja Muda atau Tengku Mahkota: Duli Yang Teramat Mulia atau Yang Teramat Mulia

Kerabat Diraja Karib: Yang Amat Mulia

Gelaran Warisan: Yang Mulia

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri: Yang Amat Berhormat

Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Wakil Rakyat): Yang Berhormat

Wakil Rakyat yang mempunyai gelaran Tengku atau Raja: Yang Berhormat Mulia

Tun, Toh Puan: Yang Amat Berbahagia

Yang mempunyai gelaran kurniaan kerajaan (selain Tun dan Toh Puan) atau/dan gelaran ikhtisas yang formal: Yang Berbahagia

Ketua Hakim Negara: Yang Amat Arif

Ketua Polis Negara: Yang Amat Setia

Hakim, Kadi: Yang Arif

Mufti dan Pemimpin Islam: Sahibul Samahah

Ketua jabatan tanpa gelaran: Yang Berusaha

Sumber: tutor.com

*** alangkah santunnya Bahasa Melayu. Bagaimana pula dengan Orang Melayu???



Wednesday, June 30, 2010

GURINDAM 12

oleh RAJA ALI HAJI


Gurindam I

Ini gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang ma'rifat.

Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri, maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.

Barang siapa mengenal dunia, tahulah ia barang yang terpedaya.

Barang siapa mengenal akhirat, tahulah ia dunia melarat.


Gurindam II

Ini gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut, tahulah ia makna takut.

Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang.

Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua temasya.

Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat.

Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji.


Gurindam III

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata, sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senonoh.

Anggota tengah hendaklah ingat, di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hendaklah peliharakan kaki, daripada berjalan yang membawa rugi.


Gurindam IV

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hati kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun roboh.

Apabila dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan memuji hendaklah pikir, di situlah banyak orang yang tergelincir.

Pekerjaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala.

Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.

Tanda orang yang amat celaka, aib dirinya tiada ia sangka.

Bakhil jangan diberi singgah, itupun perampok yang amat gagah.

Barang siapa yang sudah besar, janganlah kelakuannya membuat kasar.

Barang siapa perkataan kotor, mulutnya itu umpama ketur.

Di mana tahu salah diri, jika tidak orang lain yang berperi.


Gurindam V

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan obat.

Cahari olehmu akan guru, yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri, yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan.

Cahari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi.


Gurindam VII

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah tanda hampir duka.

Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.


Gurindam VIII

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya, apalagi kepada lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya, orang itu jangan engkau percaya.

Lidah yang suka membenarkan dirinya, daripada yang lain dapat kesalahannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabar, biar pada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menampakkan jasa, setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Kejahatan diri sembunyikan, kebaikan diri diamkan.

Keaiban orang jangan dibuka, keaiban diri hendaklah sangka.


Gurindam IX

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan, bukannya manusia yaitulah syaitan.

Kejahatan seorang perempuan tua, itulah iblis punya penggawa.

Kepada segala hamba-hamba raja, di situlah syaitan tempatnya manja.

Kebanyakan orang yang muda-muda, di situlah syaitan tempat berkuda.

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan, di situlah syaitan punya jamuan.

Adapun orang tua yang hemat, syaitan tak suka membuat sahabat

Jika orang muda kuat berguru, dengan syaitan jadi berseteru.


Gurindam X

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka, supaya Allah tidak murka.

Dengan ibu hendaklah hormat, supaya badan dapat selamat.

Dengan anak janganlah lalai, supaya boleh naik ke tengah balai.

Dengan isteri dan gundik janganlah alpa, supaya kemaluan jangan menerpa.

Dengan kawan hendaklah adil, supaya tangannya jadi kafill.


Gurindam XI

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa, kepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepala, buang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanat, buanglah khianat.

Hendak marah, dahulukan hajat.

Hendak dimulai, jangan melalui.

Hendak ramai, murahkan perangai.


Gurindam XII

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.

Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.

Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.

Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.

Related Posts with Thumbnails