Wednesday, February 8, 2012

Tiga juta rakyat Malaysia terdedah penyakit mental

KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga juta penduduk negara ini yang mengalami masalah kesihatan mental berpotensi menghidap penyakit mental atau gila sekiranya tidak menerima rawatan dengan masalah murung menjadi punca utama penyakit berkenaan.

Kajian Beban Penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan masalah kemurungan yang menjadi antara punca penyakit mental akan naik ke tangga kedua teratas selepas penyakit jantung iskemia di seluruh dunia menjelang 2020.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ke-III pada 2006 menunjukkan kewujudan masalah kesihatan mental adalah 11.2 peratus di kalangan orang dewasa dan 20.3 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Ini bermakna, remaja dan kanak-kanak berisiko untuk terdedah kepada penyakit mental berpunca daripada faktor biokimia dalam otak termasuk akibat peristiwa hitam dalam hidup, hilang orang tersayang, cabaran hidup terlalu sukar dan tahap sosioekonomi rendah.
Penyakit itu boleh dikesan melalui tanda awal seperti perubahan tingkah laku ketara, cepat marah, keresahan, sedih berpanjangan, mempunyai idea pelik, memikir dan bercakap soal bunuh diri, penyalahgunaan dadah serta alkohol dan tidak upaya melakukan aktiviti harian.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Ketua Penolong Pengarah Kanan (Kesihatan Mental) Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Nurashikin Ibrahim ketika mengulas isu itu berkata, kebanyakan kes dilapor membabitkan mereka berusia 25 hingga 34 tahun.

Katanya, individu yang mengalami masalah Neurosis cuma mengalami perubahan dalam pemikiran, perasaan menyebabkan gangguan dalam fungsi harian seperti kerap resah, murung dan bimbang, tetapi tidak menjejaskan kewarasan.

Penghidap penyakit Psikosis pula akan mengalami perubahan ketara dalam aspek tingkah laku dan tidak waras misalnya Skizophrenia iaitu kecelaruan manik-depresif (bipolar).

Dr Nurashikin berkata, penyakit itu masih terkawal sepenuhnya melalui pelbagai usaha kerajaan serta teknik rawatan ubatan moden memastikan proses pemulihan lancar, sekali gus membantu pesakit kesihatan mental tidak merebak hingga menghidap penyakit mental.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan melalui 233 pakar yang bertugas di empat institusi mental dan 38 hospital kerajaan berusaha keras memastikan penyakit itu dikawal dengan menyediakan perkhidmatan psikiatri.

Kerajaan juga menyediakan 671 klinik kesihatan untuk perkhidmatan kesihatan mental termasuk rawatan susulan bagi pesakit mental stabil pada peringkat komuniti dengan dibantu 80 orang ahli klinikal psikologi dan 192 pakar perubatan keluarga di klinik kesihatan.

“Bilangan pesakit lelaki lebih ramai daripada wanita. Kemungkinan lelaki lebih sukar dikawal di luar fasiliti kesihatan berbanding wanita.

“Individu yang mengalami masalah kesihatan mental bukan bermaksud mereka mengalami masalah mental kerana kesihatan mental membabitkan semua orang, manakala penyakit mental membabitkan sebahagian orang saja.

“Pesakit mental yang tidak dirawat termasuk gagal mematuhi prosedur makan ubat berisiko menyebabkan kemudaratan kepada diri dan orang di sekeliling. Mereka berkemungkinan mengalami ‘relapse’ dan boleh bertindak agresif,” katanya.

Dr Nurashikin berkata, situasi di Malaysia tidak begitu membimbangkan kerana berdasarkan kes rawatan sejak tiga tahun lalu, jumlah pesakit mental yang dirawat akibat gangguan kes mental dan tingkah laku menurun 4.9 peratus (1,372 kes) pada tahun lalu dengan 26,186 kes berbanding tahun sebelumnya, 27,558 kes.

Bagi 2007, jumlah pesakit direkodkan ialah 27,384 sebelum meningkat 174 kes pada 2008.

Sehubungan itu katanya, keluarga dan masyarakat perlu memainkan peranan penting memastikan ahli keluarga yang mengalami masalah mental mendapatkan rawatan dan patuh mengambil ubat.

Ketika ini, kaedah rawatan diguna pakai berdasarkan biopsikososial model iaitu meliputi rawatan ubatan (farmakoterapi), psikologikal dan rawatan sosial.

“Ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental termasuklah ubat psikotropik, anti-psikotik dan anti-depresant serta ubat lain mengurangkan tekanan, keresahan dan kemurungan. Semua ubat yang digunakan kini lebih baik dan kurang kesan sampingan,” katanya.


~Sumber: bharian online~

Wednesday, January 11, 2012

Keliru sungguh. Baharu, baru atau baru-baru?


Kata 'baru' dan 'baharu' merupakan kata adjektif yang digunakan untuk merujuk sesuatu yang belum dipakai atau belum lama dipakai, contohnya basikal baru/baharu atau kasut baharu/baru. Padanan bahasa Inggerisnya ialah new.

Kata baru sebagai kata bantu digunakan dalam konteks 'tidak berapa lama dahulu' atau 'tidak lama sebelum ini'. Contohnya baru-baru ini, baru tiba, baru sedar. Padanan bahasa Inggeris bagi 'baru' di sini ialah just, dan 'baru-baru' ini ialah recently.

Contoh:

-Ayah membelikan adik basikal baharu/baru.
-Selepas saya jelaskan baru dia sedar.


~kuasai bahasa anda~

Sendi Nama "ke", "kepada", "pada", "di"


1. SN "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, arah atau tempat yang dituju, dan adakalanya menunjukkan waktu dan masa. Contoh:

i. Dia menjenguk ke dalam bilik itu.
ii. ...dan kesejukannya memanjang sampai ke pagi.
iii. Waktu dia menoleh ke kiri dan ke kanan, cahaya kemerah-merahan sore telah lenyap.
iv. Bulan Muharam sudah sampai ke penghujungnya.

2. SN "kepada" digunakan dengan maksud arah dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang atau objek. Contoh:

i. Aku bercerita kepadanya apa yang telah berlaku kepadaku dulu.
ii. Nathan mengalihkan pandangannya kepada padi yang sedang disukat.
iii. Pandangan mereka tertumpu kepada seekor kelkatu yang terbang mengelilingi pelita.

3. SN "pada" digunakan dalam beberapa situasi tertentu seperti berikut:

3.1 Untuk menandakan keterangan waktu, apabila SN ini mendahului kata nama atau frasa nama yang menyatakan waktu atau masa.

Contoh:
i. Pada malam begini, sebuah dua kereta lalu juga di jalan itu.
ii. Dia cuba melawan kesedihan hatinya pada sore bulan Oktober itu.
iii. Jenazah isterinya telah selamat dikebumikan pada kira-kira jam 11 keesokan harinya.

3.2 Untuk menandakan sesuatu tempat yang tetap dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama. "Tempat" di sini dapat merujuk kepada orang atau objek.

Contoh:
i. Aku akan menggantung buaian pada sebatang dahan.
ii. Percakapannya lembut dan pada tempat-tempat tertentu berat dengan perasaan sedih.
iii. Jelas benar, tiada apa-apa yang lucu pada pertanyaan itu.

3. SN "di" khusus digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat yang tetap.
Contoh:

i. Kaki-kaki hujan yang runcing lagi lembut menderap turun di atas bumbung.
ii. Aku sering berasa bimbang untuk tinggal di dalam rumah itu.
iii. Aku berdiri di dalam sungai sambil mencuci kain di atas sekeping batu leper.

Sama-samalah kita berbahasa dengan betul :)



Thursday, January 5, 2012

KARNIVAL BUKU KARANGKRAF 2012





datanglah beramai-ramai!

Sendi Nama Yang Saling Bergantian



Za'ba mendefinisikan Sendi Nama (SN) sebagai:
"...kata-kata yang khas di-pakai dengan nama atau ganti-nama sahaja bagi menunjokkan persangkutan nama atau ganti-nama itu dengan sa-suatu perkataan lain di-dalam ayat." (Za'ba:1965)

SN yang dapat saling bertukar ganti adalah:

i. "bagi" dan "untuk"

Contoh:
-Bagi mengisi waktu sambil berada di sisi isterinya, lelaki itu menyirat jala untuk kegunaannya bila sudah siap nanti.
-Untuk beberapa ketika, kata-kata itu tidak terkeluar daripada bibirku.

ii. "sampai" dan "hingga"

Contoh:
-Aku berasa sedih dan pilu sampai jatuh sakit.
-Aku masih bersyukur dan tetap bersyukur hingga ke hari ini walaupun kemudiannya kami tidak putus-putus dirundung malang.

iii. "tentang" dan "mengenai"

Contoh:
- Rupa-rupanya mereka sudah mendapat tahu tentang keserakahan Jepun terhadap perempuan.
-Tetapi kau tidak tahu apa-apa mengenai kerja itu.

iv. "seperti", "bagai" dan "umpama"

Contoh:
-Seperti sejuta kunang-kunang, bintang di langit berkelipan.
-Ira terlonjak-lonjak memerhati dengan wajahnya bagai sekuntum bunga.
-Dia sangat baik dan saya sendiri tidak tahu kenapa dia harus menerima nasib buruk seumpama itu...


Rujukan: Sendi Nama dalam Bahasa Melayu, DBP (2011)





Related Posts with Thumbnails