Wednesday, June 30, 2010

GURINDAM 12

oleh RAJA ALI HAJI


Gurindam I

Ini gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang ma'rifat.

Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri, maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.

Barang siapa mengenal dunia, tahulah ia barang yang terpedaya.

Barang siapa mengenal akhirat, tahulah ia dunia melarat.


Gurindam II

Ini gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut, tahulah ia makna takut.

Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang.

Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua temasya.

Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat.

Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji.


Gurindam III

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata, sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senonoh.

Anggota tengah hendaklah ingat, di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hendaklah peliharakan kaki, daripada berjalan yang membawa rugi.


Gurindam IV

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hati kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun roboh.

Apabila dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan memuji hendaklah pikir, di situlah banyak orang yang tergelincir.

Pekerjaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala.

Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.

Tanda orang yang amat celaka, aib dirinya tiada ia sangka.

Bakhil jangan diberi singgah, itupun perampok yang amat gagah.

Barang siapa yang sudah besar, janganlah kelakuannya membuat kasar.

Barang siapa perkataan kotor, mulutnya itu umpama ketur.

Di mana tahu salah diri, jika tidak orang lain yang berperi.


Gurindam V

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan obat.

Cahari olehmu akan guru, yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri, yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan.

Cahari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi.


Gurindam VII

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah tanda hampir duka.

Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.


Gurindam VIII

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya, apalagi kepada lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya, orang itu jangan engkau percaya.

Lidah yang suka membenarkan dirinya, daripada yang lain dapat kesalahannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabar, biar pada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menampakkan jasa, setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Kejahatan diri sembunyikan, kebaikan diri diamkan.

Keaiban orang jangan dibuka, keaiban diri hendaklah sangka.


Gurindam IX

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan, bukannya manusia yaitulah syaitan.

Kejahatan seorang perempuan tua, itulah iblis punya penggawa.

Kepada segala hamba-hamba raja, di situlah syaitan tempatnya manja.

Kebanyakan orang yang muda-muda, di situlah syaitan tempat berkuda.

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan, di situlah syaitan punya jamuan.

Adapun orang tua yang hemat, syaitan tak suka membuat sahabat

Jika orang muda kuat berguru, dengan syaitan jadi berseteru.


Gurindam X

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka, supaya Allah tidak murka.

Dengan ibu hendaklah hormat, supaya badan dapat selamat.

Dengan anak janganlah lalai, supaya boleh naik ke tengah balai.

Dengan isteri dan gundik janganlah alpa, supaya kemaluan jangan menerpa.

Dengan kawan hendaklah adil, supaya tangannya jadi kafill.


Gurindam XI

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa, kepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepala, buang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanat, buanglah khianat.

Hendak marah, dahulukan hajat.

Hendak dimulai, jangan melalui.

Hendak ramai, murahkan perangai.


Gurindam XII

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.

Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.

Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.

Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.

Sunday, June 6, 2010

Tentang Tidur

“Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.
Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena,” kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.

Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.

Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

“Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

“Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Seseorang akan rasa mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

“Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

“Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang,” katanya.

Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

“Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

“Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi,” katanya.

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.

Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

“Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

“Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.

“Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu,” jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.


Sumber: Kosmo
Related Posts with Thumbnails