Gaya hidup hari ini seakan-akan memaksa setiap pasangan suami-isteri meluangkan terlalu banyak masa untuk bekerja dan mencari wang. Balik ke rumah hanya untuk tidur. Esoknya, awal-awal lagi sudah keluar semula. Anak-anak usah dikata, bagaikan semua tanggungjawab sebagai ibu bapa diserahkan kepada pembantu rumah, nurseri atau taska.
Adakalanya, ibu bapa hampir terlupa bahawa merekalah guru pertama bagi anak-anak. Mereka hampir lupa bahawa di bahu merekalah terletak beban memberi nafkah batin kepada anak-anak, iaitu pendidikan keagamaan. Maka tak hairanlah, jika nafkah zahir sahaja yang diutamakan, anak-anak membesar tanpa perhatian, belaian, penghargaan, kasih-sayang dan lebih malang lagi, tanpa penerapan nilai Islam dalam jiwa mereka.
Apa salahnya jika ayah ibu sendiri yang mengajar anak mengaji? Apa salahnya jika meluangkan sedikit masa untuk makan bersama? Apa salahnya jika meluangkan beberapa jam ketika anak mengulang kaji pelajaran? Sebenarnya, semua yang dikorbankan pada masa ini demi mencari kelapangan hidup belum pasti akan memberi kebahagiaan pada keluarga pada masa akan datang. Oleh sebab itu, janganlah terlalu menghambakan diri kepada material sehingga mengorbankan harta sedia ada yang kita sudah ada, iaitu permata hati zuriat kita. Mereka adalah amanah dan bukti kasih yang tidak patut kita kesampingkan.
Mari kita semak-semak jika ciri-ciri ini ada dalam keluarga. Sesebuah keluarga menghadapi risiko menjadi KELUARGA CELARU jika...
1. Masalah tidak dikongsi bersama
2. Ahli keluarga mengambil penyelesaian negatif
3. Membuka ruang kepada penyakit mental, kecelaruan mental, jenayah atau perbuatan yang merosakkan diri sendiri.
4. Kurang kasih sayang, tidak sefahaman
5. Keperluan ahli keluarga diabaikan
6. Gagal menghormati privasi dan hak orang lain
7. Keganasan fizikal dan mental.
8. Krisis nilai
9. Keluarga tidak bercerai tetapi sentiasa berfkonflik
10. Menafikan masalah sedia ada
Masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Lebih baik halang ia sebelum berlaku daripada menderita menanggung penyesalan.