Sunday, June 6, 2010

Tentang Tidur

“Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.
Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena,” kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.

Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.

Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

“Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

“Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Seseorang akan rasa mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

“Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

“Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang,” katanya.

Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

“Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

“Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi,” katanya.

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.

Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

“Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

“Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.

“Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu,” jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.


Sumber: Kosmo

2 comments:

  1. Terima kasih kerana menempatkan info penting ini.

    ReplyDelete
  2. sblm ini sdr edi ada tanya pendapat ttg tidur di fb kan, sbb itulah saya cari maklumat ttg perkara ni...

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails