Monday, August 15, 2011

KSSR memerlukan kerjasama ibu bapa


mulai 2011, murid-murid tahun satu melalui transformasi besar-besaran dalam pendidikan negara. kbsr ditukar kepada kssr. secara umumnya, kssr tidak lagi menjadikan peperiksaan awam sebagai fokus utama. kumpulan pertama ini akan dinilai 40% secara pentaksiran mulai tahun satu hingga tahun enam manakala 60% lagi secara peperiksaan awam pada tahun enam.

sistem ini sebenarnya sudah lama diamalkan oleh negara maju. disebabkan negara kita mula mengorak langkah ke arah negara maju, maka wajarlah sistem pendidikan juga mengikut perkembangan yang sama. murid-murid akan dinilai mengikut perkembangan minda dan minat mereka. sistem ini lebih adil kerana peperiksaan tidak lagi meenjadi fokus utama. seringkali berlaku dalam sistem pendidikan yang lama; murid-murid yang bijak sahaja diberi penghargaan (mengikut keputusan peperiksaan mereka) sedangkan murid sederhana atau lemah tidak 'dipandang' sebagai sewajarnya. pernah juga berlaku, murid bijak sekalipun tidak mendapat keputusan yang cemerlang disebabkan dia demam pada hari peperiksaan. jadi, ilmu yang pernah diajarkan selama ini seolah-olah gagal dinilai hanya kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan pada hari peperiksaan.

sistem baru dalam pendidikan kita yang bermula pada tahun ini bertujuan antara lainnya memberi kesamarataan kepada semua murid dalam hak pendidikan. maksudnya, tak kiralah murid tersebut cerdik, sederhana atau lemah, mereka diberi peluang penilaian yang adil. selain itu, mereka boleh menyerlahkan bakat atau minat mereka sejak kecil lagi supaya dapat membina haluan hidup lebih awal, tidak seperti pendidikan sedia ada yang hanya memberi peluang anak-anak menyerlahkan minat selepas SPM.

mengapa saya berkata kssr memerlukan kerjasama ibu bapa?

sistem baharu ini bukan hanyaa menilai murid mengikut kefahaman mereka terhadap pelajaran yang diajar di sekolah. murid-murid dinilai bagi setiap subjek melalui elemen yang digubal oleh guru-guru yang mengajar mereka. setiap subjek terdiri daripada band 1-6. guru-guru akan turut menilai sahsiah murid-murid tersebut. oleh sebab itu, ibu bapa tidak boleh menuding jari kepada guru atau pentadbir di sekolah jika anak mereka tidak diberi band 6 walaupun anak mereka cerdik. jangan lupa, untuk sampai ke band 6, murid mestilah berakhlak terpuji ataupun boleh menjadi ketua.

tanpa kerjasama ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka supaya bersopan-santun, berakhlak mulia dan berhemah tinggi, saya rasa agak sukarlah guru-guru mata pelajaran akan memberikan band tertinggi kepada anak-anak ini.

harus kita ingat selalu bahawa sistem pendidikan baharu ini bukan sahaja mahu melahirkan usahawan dan warganegara yang kreatif lagi inovatif. sistem ini malah lebih mengutamakan hasrta untuk melahirkan warganegara yang sayangkan negara dan berakhlak mulia. oleh sebab itu, tentu sekali pihak sekolah turut mengharap kerjasama daripada ibu bapa untuk membantu mereka.

jika mulai tahun ini masih ada ibu bapa yang mahu lepas tangan atau menyerahkan 100% tugas menyemai akhlak mulia dalam diri anak-anak kepada guru-guru sahaja, ternyata ibu bapa masih terkurung dalam tempurung  yang gelap lagi sempit. anak-anak merekalah yang akan rugi kemudian hari.

saya amat mengharapkan ibu bapa tidak lagi suka-suka mahu menyerang sekolah jika anak-anak balik mengadu itu-ini. sudah sampai masanya ibu bapa bersikap rasional demi masa depan anak-anak sendiri. tak semestinya apa yang diadukan anak-anak itu benar dan tak semestinya semua tindakan guru salah. ibu bapa yang ego biasanya akan memiliki anak-anak yang bermasalah. jika ibu bapa masih mahu mempertahankan ego mereka dengan menyalahkan sekolah dan mengaku anak mereka tak salah, ternyata ibu bapa jenis inilah yang merosakkan kecerdasan emosi anak-anak mereka.

ibu bapa jangan lupa, biasanya guru-guru lebih mengenali anak-anak anda berbanding anda. enam jam masa di sekolah sudah cukup untuk semua guru yang mengajar anak anda menilai potensi dan kenakalan mereka. tak semestinya di rumah mereka baik, di sekolah mereka baik juga. sangat biasa berlaku; anak-anak ini baik perangai di rumah tetapi sebaliknya mereka amat nakal di sekolah kerana sekolahlah tempat mereka melepaskan geram yang tidak boleh dilampias di rumah.

oleh sebab itu, ada baiknya ibu bapa melenturkan ego masing-masing. demi anak-anak kita juga. demi masa depan mereka juga. ingat, kini guru mempunyai kuasa penuh untuk menilai anak-anak anda. guru akan menilai seadil-adilnya, tetapi keputusan untuk bekerjasama tetap berada di tangan anda. jika anda berdegil, rugilah masa depan anak-anak anda nanti...

JOM TRANSFORMASIKAN MINDA KITA

*kssm akan bermula pada tahun 2012 (bagi pelajar tingkatan satu)

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails