Thursday, September 27, 2012

Kepuasan Berkarya


Ada banyak sebab orang berkarya.  Ada orang berkarya kerana karyanya boleh dijual lalu dia akan mendapat keuntungan daripadanya. Ada orang berkarya untuk melepaskan perasaan yang terbuku. Ada orang berkarya kerana minat . Ada juga yang berkarya untuk mengisi masa lapang.

Dan ada banyak jenis kepuasan yang boleh dicapai selepas berkarya. Ada orang berasa puas apabila karyanya tersiar dalam media. Ada orang berasa puas apabila karyanya ditatap khalayak umum. Ada orang berasa puas apabila dengan karya tersebut dirinya terkenal dan dilayan istimewa. Ada orang berasa puas apabila status ekonominya meningkat dengan terjualnya karya tersebut dengan laris sekali.

Semua alasan betul dan tidak salah. Semua orang berhak membina alasan tersendiri kerana itu merupakan hak asasi masing-masing. Namun, apapun alasan kita, ia berbalik kepada niat asal kita dan niat yang berjalan seiring perlakuan kita ketika berkarya.

Bagi saya, niat asal saya berkarya adalah minat. Dan ingin berkongsi sedikit ilmu yang ada. Dan mahu mengembangkan jalan dakwah seperti yang pernah dipesan oleh DBP lewat penyertaan saya dalam Minggu Penulis Remaja pada tahun 1994 yang lalu. Hingga ke saat ini, saya masih tidak memandang royalti sebagai keutamaan ketika berkarya.

Dan saya berasa puas jika mampu menyentuh hati para wanita yang sedang mencari-cari hidayah, melalui buku yang saya tulis. Seorang pun sudah cukup, kerana saya tahu, hidayah itu amat besar nilainya. Dan saya berasa puas jika mampu mengalirkan air mata lelaki melalui blog saya. Seorang pun sudah cukup, kerana saya tahu lelaki memang sukar menangis.

Ini pendapat peribadi saya. Terpulanglah apa pula pendapat anda...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails