Wednesday, April 3, 2013

Pra-Pembikinan Surat Daripada TUHAN



Penulis bergambar dengan tim Karya Bestari setelah selesai penggambaran untuk buku Surat Daripada TUHAN

Ragam Kolumnis


Menjadi kolumnis merupakan obsesi sesetengah penulis. Maklumlah dengan menjadi kolumnis, dirinya lebih dikenali kerana muncul di dada akhbar atau majalah saban hari, saban minggu atau saban bulan. Ini tidak sama jika dia kekal menulis buku kerana bukan orang akan beli atau baca buku seseorang penulis itu.

Kolumnis cepat terkenal disebabkan pendapat yang ingin dilontar. Dia juga bebas menulia apa-apa sahaja kerana dia 'memiliki' ruang tersebut.

Tapi jangan lupa, menjadi kolumnis bermakna mengizinkan seluruh rakyat Malaysia menilai tulisan anda. Tak kira pak cik yang bersidai siang malam di kedai kopi, atau cendekiawan universiti, mereka akan menilai tulisan tersebut berdasarkan ruang lingkup ilmu yang mereka ada.

Saya, sebagai golongan marhaen, kadangkala turut menilai tulisan para kolumnis akhbar. Tidak perlukan ilmu yang banyak untuk mengetahui seseorang itu berpihak kepada parti yang mana satu. Mereka terang-terang mengakuinya melalui tulisan mereka. Tak tahulah, mungkin mereka bangga berbuat begitu. Atau secara tidak disedari, mereka tidak mengakui parti politik yang disokong tetapi tindakan menempelak pihak yang satu lagi dapat menjelaskan pendirian mereka.

Hari ini, ketika menyelak sebuah akhbar tempatan pada pukul 5.30 petang, saya rasa nak tergelak pula membaca satu ruangan 'itu'. Sebagai seorang kolumnis tentang cermin diri, ternyata penulis itu sendiri belum telus mencermin dirinya sendiri mahupun keadaan persekitaran. Cetek sahaja pemikirannya. Itupun boleh jadi kolumnis?

Dah rezeki dia, dan ruang itu ruangan dia...

Cuma, saya lebih suka jika semua kolumnis akhbar tidak memaparkan idea hanya untuk mengampu pihak-pihak berkenaan sahaja. Bukankah akhbar wajar memberikan ilmu yang lurus kepada para pembacanya? Jadi, laksanakanlah tanggungjawab tersebut dengan telus, supaya lulus pada perhitungan di hadapan ALLAH SWT nanti.

Yang penting, hidup kita bukanlah untuk memenuhi keperluan duniawi semata-mata. Walaupun tulisan kita itu bisu, ia berupaya mengubah ramai orang. Jadi, jika seseorang kolumnis itu bertujuan menyebarluaskan propaganda, boleh jadi agendanya itu akan berjaya jika yang membacanya adalah orang yang cetek akal juga.

Siapapun kita, biarlah kita menyumbang ke arah kebaikan. Kerana setiap huruf adalah saham untuk menuju akhirat, sama ada akhirat yang bahagia atau akhirat yang sengsara.

Wednesday, October 31, 2012

Tentang..Dugaan Lagi


Hidup kita ini tak habis-habis dilanda dugaan. Tapi bukan semua orang sedar tentang perkara ini. Ada orang memegang prinsip; dugaan bermaksud ujian kesedihan, kekecewaan, kemiskinan dan kegagalan. Pendek kata, semua yang negatif itu dugaan. Sebaliknya kegembiraan, kekayaan, kecantikan dan kejayaan semua itu bukan dugaan kerana ia berbentuk positif.

Betul ke?

ALLAH pernah berfirman lebih kurang maksudnya; Dan sesungguhnya KAMI menguji kamu semua dengan kejahatan dan kebaikan sebagai dugaan. Dan firman-NYA lagi yang bermaksud: DIAlah yang menjadikan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu semua, siapa di antara kamu yang lebih baik amalannya...

Jadi, ini bermakna tidak semestinya kejahatan dan keburukan sahaja dipanggil dugaan. Kebaikan juga dipanggil dugaan. Bagaimana pula kebaikan boleh jadi dugaan? Iaitu apabila manusia tidak mahu bersyukur setelah diberi kekayaan. Iaitu apabila manusia diserang penyakit hati setelah diberi kegembiraan, kecantikan atau kejayaan.

Orang yang selalu menayang-nayang keluarganya dengan mengatakan keluarganyalah yang paling bahagia, berhati-hatilah. Kerana TUHAN tidak susahpun untuk menguji orang itu dengan dugaan yang terpilih, contohnya anak-anaknya sendiri terlibat dengan jenayah. Biasanya, orang yang berulang-alik ke masjidlah yang sering diuji dengan anak-anak yang bermasalah sosial dan enggan menutup aurat.

Orang yang selalu berbangga-bangga dengan kejayaan dirinya akan diberikan dugaan yang lebih menarik. Iaitu dia akan selalu berjaya dalam setiap bidang yang diceburi. Mengapa? Supaya dia lebih banyak menyebut-nyebut tentang kejayaannya itu dengan rasa teramat bangga.

Pendek kata, siapapun kita, awaslah selalu. Berhati-hatilah kerana setiap orang pasti diduga. Duduklah sejenak dan bertafakurlah, apakah apa yang kita kecapi ada hari ini adalah benar-benar nikmat atau dugaan semata-mata...


Thursday, October 18, 2012

...tika manik-manik rindu menguntai namamu...


Ingin menangis tetapi hanya di dalam hati. Hari bersejarah ini kurai sendirian...dengan seluruh rindu yang tak akan dapat kuleraikan. Tuhan, dia mengorbankan dirinya untuk kebahagiaanku, tapi ternyata aku tidak bahagia tanpanya. Aku masih mengenangnya, seperti baru semalam peristia itu berlaku...

Tuhan, izinkan aku untuk terus mengenang masa silam. Kerna hanya dengan mengenangnya aku berasa kuat.

Tuhan, kasihilah dia selama dia berasa di sisi-Mu... dan rahmatilah hamba-Mu yang baik itu dengan syurga-Mu...ameen.

Thursday, September 27, 2012

najwa latiff feat Upin Ipin - Terima Kasih Cikgu (lirik)



...untuk cikgu-cikguku...

Aku Suka Dia



...alangkah indahnya cintamu...

Kepuasan Berkarya


Ada banyak sebab orang berkarya.  Ada orang berkarya kerana karyanya boleh dijual lalu dia akan mendapat keuntungan daripadanya. Ada orang berkarya untuk melepaskan perasaan yang terbuku. Ada orang berkarya kerana minat . Ada juga yang berkarya untuk mengisi masa lapang.

Dan ada banyak jenis kepuasan yang boleh dicapai selepas berkarya. Ada orang berasa puas apabila karyanya tersiar dalam media. Ada orang berasa puas apabila karyanya ditatap khalayak umum. Ada orang berasa puas apabila dengan karya tersebut dirinya terkenal dan dilayan istimewa. Ada orang berasa puas apabila status ekonominya meningkat dengan terjualnya karya tersebut dengan laris sekali.

Semua alasan betul dan tidak salah. Semua orang berhak membina alasan tersendiri kerana itu merupakan hak asasi masing-masing. Namun, apapun alasan kita, ia berbalik kepada niat asal kita dan niat yang berjalan seiring perlakuan kita ketika berkarya.

Bagi saya, niat asal saya berkarya adalah minat. Dan ingin berkongsi sedikit ilmu yang ada. Dan mahu mengembangkan jalan dakwah seperti yang pernah dipesan oleh DBP lewat penyertaan saya dalam Minggu Penulis Remaja pada tahun 1994 yang lalu. Hingga ke saat ini, saya masih tidak memandang royalti sebagai keutamaan ketika berkarya.

Dan saya berasa puas jika mampu menyentuh hati para wanita yang sedang mencari-cari hidayah, melalui buku yang saya tulis. Seorang pun sudah cukup, kerana saya tahu, hidayah itu amat besar nilainya. Dan saya berasa puas jika mampu mengalirkan air mata lelaki melalui blog saya. Seorang pun sudah cukup, kerana saya tahu lelaki memang sukar menangis.

Ini pendapat peribadi saya. Terpulanglah apa pula pendapat anda...

Related Posts with Thumbnails