Thursday, May 6, 2010

Selamat Ulang Tahun Buat Diriku...



Get Birthday-Graphics



Alhamdulillah, hari ini adalah ulang tahun kelahiranku mengikut takwim hijri. Aku dilahirkan pada 21 Jamadil Awwal puluhan tahun yang lalu. Usiaku sudah berganjak ke angka yang lebih banyak berbanding umur mengikut kalender 'matahari'. (Mengikut takwim Hijri, usia kita lebih tua . Tetapi itulah yang betul, usia sebenar kita).Aku akur akan bilangan angkanya...dan bersyukur, masih diberi kesempatan oleh-Nya, menyedut nafas percuma atas muka bumi ini.

Malam tadi aku sudah ingat tentang hari penting ini. Dan aku terlena sewaktu mencongak-congak usiaku yang baru. Pagi tadi, sebab nak cepat pergi mesyuarat di Shah Alam, aku lupa terus tentang usia baruku. Sewaktu tenggelam dalam mesyuarat yang agak 'panas' sehingga ke tengah hari, aku terus lupa juga. Bila balik ke rumah pukul 6 petang, tahap kepenatanku sudah total. Oh, aku perlukan rehat!

Selepas solat Maghrib kubaca Yaasin untuk diri sendiri. Sebagai meraikan usia yang bertambah ini dan tanda terima kasih kerana Allah s.w.t masih meminjamkan nyawa buat tubuhku. Usia makin bertambah. Adakah amalanku juga makin bertambah? Kusoal diri sendiri penuh keinsafan.

Setiap hari meredah kesibukan bekerja, menguruskan rumah tangga dan sebagainya, adakah pernah semua itu dinilai oleh-Nya sebagai amalan soleh? Kumohon ada walaupun sedikit. Aku hamba yang lemah. Aku hamba yang hina. Kuakui, pernah tersunngkur di lantai takdir yang menyesakkan. Lalu aku alpa. Lalu aku hilang keteguhan hati. Aku tidak tabah. Aku pernah mengalah pada ujian dan dugaan Allah s.w.t yang sentiasa mengepungku.

Sebab itulah aku bimbang. Di manakah tempatku selama ini di sisi-Mu ya Allah? Ampuni hatiku yang sering memberi alasan ketika ditimpa musibah. Ampuni anggotaku yang tidak terlepas melakukan kesilapan. Ampuni diriku...

Semogalah usia baru ini akan terus memberi keinsafan buat diriku. Kerana 'saat' itu semakin hampir. Semakin banyak umurku di dunia, maka semakin dekatlah diriku pada 'saat' itu.

Sebenarnya hari ini hari gembira. Cuma aku penat sebab rutin hari ini agak berlainan daripada hari-hari sebelumnya. Tapi tak mengapa. Walaupun penat, aku tetap gembira dengan jalan hidup yang kulalui kini. Komitmen pada kerjaya, rumah tangga, minat pada penulisan dan sedikit sebanyak ujian hidup akhirnya menghasilkan  diriku ini  yang seadanya.

Kenangan indah yang membuat aku tersenyum,  kenangan pahit yang membuatku sedih, suami dan anak-anak yang menghiburkan, emak, ayah dan adik-adik yang sentiasa ada dalam ruang dalam hati, kawan-kawan yang banyak membantu, sedikit kejayaan yang boleh dijadikan perangsang, jika dihimpun dan dihitung, sudah menjadi sebanyak buih di lautan. Alangkah banyaknya nikmat dan bantuan-Mu padaku, Tuhanku.

Aku akan terus meraikan hari lahir  mengikut takwim Hijri, selagi masih ada nyawa dalam tubuh ini. Biarpun meraikannya seorang diri. Siapa lagi yang hendak meraikannya jika bukan diri kita sendiri? Hargai diri sendiri sebelum menghargai orang lain. Kerana dengan menghargai diri sendiri, akhirnya kita akan terdorong untuk menghargai mereka yang penting, yang ada di sekeliling kita.

Bagaimana dengan anda? Sudahkah anda menyambut hari lahir anda mengikut takwim Hijri pada tahun ini? Ataupun sebenarnya anda tidak pernah tahu tarikh kelahiran anda  mengikut bulan Islam?

Jika hendak tahu tarikh kelahiran anda yang sebenar itu, emel lah saya. Saya akan 'kira' untuk anda.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails