Mulai tahun 2011, murid-murid seluruh Malaysia disajikan dengan sukatan baru dalam pelajaran sekolah rendah. Dan sukatan itu tidak lagi dipanggil sukatan, tetapi standard pembelajaran. Hampir kesemua istilah tidak lagi menggunakan kata Melayu asli, tetapi kata Inggeris yang dimelayukan. Oh, barangkali hendak mengkayakan lagi kosa kata Bahasa Melayu...
Apa sahaja dugaannya, terpaksalah juga para guru yang mengajar Tahun Satu meredah masa menggunakan sukatan yang baru...murid-murid perlu dinilai walaupun borang penilaiannya belum ada.
Guru hanya pelaksana. Apa yang berlaku di dalam pagar sekolah; susah payah atau setiap kesulitan, perlu dihadapi oleh guru dengan sabar... Alangkah bagusnya jika masyarakat kita hari ini melepaskan anak-anak mereka ke sekolah dengan hati yang terbuka...Dan alangkah bagusnya jika ibu bapa mempercayai bahawa apa-apa sahaja yang dilakukan oleh guru hanyalah untuk kebaikan anak-anak mereka juga...
Harus kita sedari, sekian banyak pentaksiran yang wajib dibuat oleh guru itu pada asalnya bertujuan untuk mengetahui:
1. Apa yang murid tahu
2. Apa yang murid boleh buat
3. Apa yang murid boleh amalkan.
Tujuannya sangat murni. Cuma persoalannya, bolehkah semua tujuan ini dicapai? Guru harus telus ketika menilai, tak kira murid yang dinilai itu anak nelayan, anak tukang sapu, anak pegawai kerajaan, anak jutawan, anak hartawan. Cuma, jika anak jutawan ternyata tidak boleh mencapai 3 tujuan di atas, bolehkah gurunya mencatat pencapaian murid tersebut dalam band 1? Tidakkah ibu bapanya akan redha sahaja dengan kebolehan sebenar anak mereka? Ataupun mereka akan terburu-buru menelefon sekolah lalu menyalahkan guru yang tidak mahu mengajar anak mereka dengan betul? Ataupun memberikan gred yang lebih tinggi?
Saya bukannya hendak berprasangka. Saya bimbang itulah yang akan berlaku...dan jika anak seorang nelayan layak mendapat band 6 pada setiap tajuk yang diuji, siapa yang akan memuji? Bukankah pencapaian ini suatu yang hebat? Tentulah hebat...kerana, kemiskinan bukanlah alasan untuk tidak boleh jadi pandai.
Apa yang murid tahu, senang untuk diuji dan dikenal pasti. Apa yang murid boleh buat...mungkin penilaian akan menjadi sukar. Dan untuk mengetahui apa yang murid boleh amalkan, ini adalah kerjasama antara guru dan ibu bapa. Tanpa kerjasama kedua-dua pihak ini, sukarlah sedikit untuk melahirkan modal insan yang bersahsiah terpuji...
KSSR pada akhirnya nanti bertujuan menilai murid berdasarkan UPSR dan pentaksiran (60:40), bukan lagi bergantung 100% pada UPSR sahaja. Jadi, mulai hari ini, jika kita mempunyai anak di Tahun Satu, marilah membantu tugas guru...memudahkan tugas guru, demi masa depan anak-anak kita juga...
Anak-anak adalah generasi yang akan kita tinggalkan suatu masa nanti. Jadi, jika hari ini anda enggan melabur untuk mereka, bersedialah untuk kehilangan zuriat keturunan yang mulia. Bukan hanya material sahaja yang wajib kita tinggalkan untuk mereka, tetapi kita juga wajib melengkapkan mereka dengan didikan, akidah, iman dan amal soleh...dan ini bukanlah tugas seorang guru seorang diri...ini adalah tanggungjawab ibu bapa yang membuat dan melahirkan anak-anak tersebut.
No comments:
Post a Comment