Thursday, April 28, 2011

KSSR oh.....KSSR (ii)

Setelah menghadiri sesi penerangan demi penerangan, bengkel dan taklimat tentang KSSR, saya mula senyum dan menghela nafas lega. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat mentransformasi pendidikan di negara tercinta ini. Saya berasa sangat gembira. Mengapa?

KSSR ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ia merupakan kurikulum baru yang menggantikan KBSR. (Saya ialah produk pertama KBSR). Apa yang sangat melapangkan perasaan saya tentang KSSR ini ialah, tujuan kurikulum tersebut sangat murni. Salah satunya adalah untuk memastikan kemenjadian murid. Maksudnya, murid Tahun Satu mulai 2011 tidaklah lagi dinilai berdasarkan UPSR mereka. Tetapi mereka dinilai untuk setiap subjek mulai Tahun Satu lagi. (11 subjek bagi SK). UPSR bernisbah 60 sahaja, itupun untuk 4 subjek sahaja. Subjek yang termasuk dalam penilaian sejak Tahun Satu antaranya Pendidikan Islam/Moral, Pend. Seni Visual, PJK dan Muzik. Matlamat kudus daripada penilaian ini adalah untuk meletakkan murid dalam bidang yang paling dominan buat dirinya.

Maksudnya ialah, tak semestinya murid yang bijak Matematik akan bijak juga dalam Muzik. Tak semestinya murid yang pandai bersukan bijak menulis karangan. Jadi, dari usia tujuh tahun lagi guru-guru mereka sudah mengenal pasti dan mengetahui potensi setiap murid mereka. Bukankah ini lebih adil? Jika hanya murid 5A sahaja yang dianggap bagus atau bijak, apakah murid yang mendapat 5B itu tidak bijak? Barangkali murid tersebut pandai bersajak, pandai bernyanyi dan cergas di padang tetapi semua itu tidak dinilai. Yang dinilai ialah peperiksaan yang diduduki, iaitu UPSR.

Satu perkara lagi, saya berasa inilah perkembangan positif dalam transformasi pendidikan kita, bila mana Pendidikan Islam/ Moral juga diberi penilaian yang sama penting dengan subjek lain. Sahsiah murid direkodkan, jika sahsiah terpuji, murid itu akan mendapat skor yang tinggi. Begitu juga sebaliknya. Saya kira, melalui penilaian seumpama ini, dapatlah kita mengembalikan semula generasi yang bersopan santun, berakhlak tinggi, pandai menghormati orang yang lebih tua dan menjulang hemahnya. Semoga akan suburlah semula budaya bangsa kita yang mulia, umpamanya menghormati guru dan mentaati ibu bapa. Belajar di sekolah bukan hanya untuk pandai, tapi dalam masa yang sama untuk membina akhlak yang terpuji juga. Jika seseorang murid itu dilahirkan dalam keluarga yang tidak mementingkan akhlak mahmudah, maka sukarlah sedikit untuk membentuk murid tersebut. Walau bagaimanapun, dari masa ke masa, tentulah murid itu akan diajar untuk berubah menjadi murid yang berakhlak mulia dalam mata pelajaran Pendidikan Islam/Moral.

Sesungguhnya saya melihat kurikulum baru ini sebanyak serampang banyak mata ke arah membina negara dan bangsa yang disegani di mata dunia. Saya juga gembira kerana kurikulum ini secara tak langsung akan menaikkan semula penghormatan masyarakat terhadap guru...saya akan mengupas perkara ini dalam catatan seterusnya... :)

3 comments:

  1. Salam, anak saya bakal menduduki tahun 2 pada 2013. Pada awal tahun 2012, guru menerangkan bahawa kelas anak tidak akan bertukar sehingga dia mencapai tahun 6. Tapi sebaliknya yang terjadi. Sekolah memberi surat kepada semua murid tahun 1 mengatakan petukaran kelas berlaku disebabkan pilihan bahasa elektif yang di ambil iaitu B. Arab, B. Cina dan B. Tamil. Adakah ini juga berlaku di sekolah lain? Kenapa kawan anak saya tidak ditukarkan kelas sedangkan pengambilan bahasa yang sama dan mendapat band yang sama. Harap dapatkan penjelasan. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. tukar/tidak tukar kelas bergantung kepada pelaksanaan sesebuah sekolah yg tak semestinya sama dgn sekolah lain. puan mesti pastikan guru-guru melaksanakan pbs seperti yg diarakan oleh kpm.

    ReplyDelete
  3. jika puan ada apa-apa masalah, boleh inbox saya di facebook saya: Ruhana Zaki. saya cuba membantu apa yg termampu. terima kasih

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails