Tuesday, May 3, 2011

Takdir Yang Sempurna

Setiap kali emak saya ditanya tentang anak-anaknya, beliau pasti akan jawab, "Anak saya kelopak bunga raya." Nota saya: bunga raya merah jambu...


Kenapa begitu? Kerana kami lima beradik dan semuanya perempuan. Jadi, sesuailah kan, diumpamakan bunga raya warna merah jambu...

Bulan Mei merupakan bulan yang paling istimewa. Kami lima beradik. Tiga daripada kami menyambut hari lahir pada bulan Mei...dan tiga daripada kami akan menyambut Hari Guru, juga pada bulan ini.

Saya sangat bersyukur, kerana perjalanan kami menuntut ilmu dan membina masa depan sentiasa dimudahkan oleh Ilahi. Itulah berkat didikan emak dan ayah. Emak pernah cakap pada saya, "Mak bagi didikan akhirat. Sebab tu lah anak-anak mak dapat dua-dua. Yang dunia pun dapat, yang akhirat pun dapat."

Bukan hendak berbangga lebih-lebih, tapi apa salahnya jika kami berbangga kerana tamat mengaji Quran sebelum umur 10 tahun. Kami lima beradik, alhamdulillah tiada masalah memahami kitab agama. Itupun berkat hendak meniru ayah yang pernah mengajar sekolah agama, pernah beri kuliah di masjid dan sampai sekarang semua orang panggil beliau ustaz.

Mungkin kerana teladan itu jugalah, saya dan dua orang adik berjaya jadi guru. Dua lagi adik di bawah saya juga nampaknya macam nak jadi guru juga. Emak seboleh-solehnya mahu anak bongsu menjadi doktor tapi adik saya sendiri nampaknya macam tak berapa minat walaupun kami semua yakin dia mampu. "Tak naklah. Adik nak jadi cikgu jugak," Bila ditanya kenapa? "Yalah, nanti semua orang cuti, adik tak cuti,"

Ternyata kami sungguh bahagia. Sehingga ke tarikh saya menulis blog ini, saya rasa bersyukur kerana Allah sentiasa menyatukan kami adik-beradik di rumah mak dan ayah. Disebabkan saya dan dua orang adik menjadi cikgu, seorang dalam kursus ijazah dan seorang lagi di Tingkatan Empat, biasanya cuti kami sama. Jadi, kami sentiasa boleh berjumpa setiap kali waktu cuti.


ketika berhari raya di rumah bapa saudara

pendaftaran adik ke-3 di UNiSZA

konvokesyen adik yang ke-2 (OUM)

sehari di Pulau Pinang


menyambut ulangtahun perkahwinan bersama keluarga...Pulau Pangkor


saat gembira adik bongsu mendapat straight A dalam PMR


pergi kenduri pun masih sama-sama...


Sempena bulan yang istimewa ini, saya ingin mengucapkan:

 1. Selamat Hari Ibu kepada emak, diri saya dan adik pertama saya, K. Ina.

2. Selamat Hari Guru kepada diri saya, adik pertama saya, K. Ina dan adik kedua saya, Ema.

3. Selamat Hari Lahir buat diri saya, adik pertama saya, K. Ina dan adik ketiga saya, Uneh.

Ingin saya mengharapkan semoga kebahagiaan ini berkekalan...





No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails