Friday, May 6, 2011

Terakhir Atau Terbaik?

~bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi, beribadatlah seolah-olah kamu akan mati esok hari~

Akhir-akhir ini kita selalu mendengar dan membaca nasihat yang berbunyi: Buatlah sesuatu pekerjaan itu seolah-olah ia  yang terakhir.

Apa kata anda? Setuju atau tidak setuju?

Saya tidak setuju. Jika kita melakukan sesuatu dengan niat inilah yang terakhir, tentu ada rasa pasrah, sedih, kecewa dan segala macam perasaan negatif di dalamnya. Sebabnya, lepas ini, aku dah tak boleh buat lagi.

Saya pernah baca dalam majalah, tentang seorang tokoh wanita yang ternama dalam bidang terhormat. Prinsip beliau juga begitu; buat sesuatu seolah-olah ia yang terakhir.

Jika prinsip ini diamalkan, maksudnya, jika seorang isteri melayan suami malam ini, dia akan melayan seolah-olah esok dia akan berpisah selama-lamanya dengan suami. Tidakkah dalam layanan itu akan terselit rasa sebak dan pilu, instead of semangat?

Ambil contoh lain pula;umpamanya seorang pegawai yang akan bersara pada hari esok. Jadi, hari ini merupakan hari terakhir dia bekerja. Kita boleh menilai seluruh dedikasinya selama puluhan tahun dalam kerjayanya dengan begitu mudah. Cuba dengar apa yang dia kata dan pandang ekspresi wajahnya tentang kerjanya pada hari terakhir sebelum bersara. Yang ini:

"Last day dah ni," katanya dengan wajah bercahaya.

atau yang ini:

"Ni last day. Esok dah tak dapat menghadap semua ni lagi..." ujarnya dengan wajah yang muram.

Ekspresi pertama menunjukkan bahawa selama ini dia memang 'terpaksa' bekerja, hinggalah tiba masa bersara barulah dia rasa lega. Ekspresi kedua pula menggambarkan kesedihannya terpaksa meninggalkan kerjaya yang sudah menjadi darah dagingnya. Pada saya, jika pegawai ini memegang prinsip buat sesuatu untuk kali terakhir, maka kedua-dua ekspresi di atas sangat-sangat tak kena!



Apa salahnya...kita kata; aku mahu buat sesuatu yang terbaik. Tak kisahlah ia yang terakhir atau pertama kali. Ayat beribadatlah kamu seolah-olah akan mati esok hari tidak bermaksud buat kerja A untuk kali terakhir tanpa memikirkan kualitinya. Yang penting ialah kualiti, bukan bilangan. Sedangkan kita pernah dipesan, taburlah benih yang ada di tangan sekalipun pada waktu itu sangkakala sedang ditiupkan. Maksudnya, kita mesti merebut peluang untuk buat sesuatu yang terbaik dalam situasi yang getir.

Ingat lagikah ketika Nabi s.a.w menyampaikan khutbah terakhir baginda? Adakah pada waktu itu, baginda ada berkata, "Aku sedang sakit dan inilah khutbahku yang terakhir..." Tidak!

Ketika ayat 3 Surah Al-Maidah diturunkan, baginda tahu urusan dakwah sudah selesai. Islam pula sudah tersebar sebagaimana sepatutnya. Para sahabat mula bersedih kerana  masa  untuk Nabi berangkat sudah tiba. Apakah pada ketika itu, Nabi ada berkata, inilah baktiku yang terakhir...? Tidak sama sekali. Ketika sakit menanggung sakarat pun, baginda masih merintih ummati, ummati. Maksudnya, baginda tidak menganggap keberangkatannya menemui Ilahi sebagai langkah terakhir dalam dakwahnya.

Saya lebih suka memegang prinsip hari ini lebih daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Dengan itu, kita akan sentiasa memperbaiki amalan seharian, menambahkan ilmu, bermuhasabah tentang perbuatan yang dilakukan semalam dan mempertingkatkan kualiti usia pada hari berikutnya. Dengan itu kita akan bersemangat pada setiap hari, dan sentiasa bersedia menghadapi mati.

Bayangkan jika kita anggap, 'inilah solatku yang terakhir, esok tak ada lagi' ...bukankah ia bernada sedih...dan pasrah...dan cinta dunia? Kenapa pula hendak berkata ini yang terakhir, sedangkan kita dituntut berfikiran 'bekerjalah seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi'? Jadi, jika ini yang terakhir, maknanya kita dengan mudah menoktahkan usaha dan berhenti di kaki takdir yang kita sendiri belum tahu kesudahannya.

Jadi, apa pilihan anda? Yang terakhir atau yang terbaik???

2 comments:

  1. Salam Afni

    Sekadar berkongsi, memang benar yang Afni bincangkan...pasti akan sedih jika kita tahu akan berpisah, sesuatu akan berakhir.

    Namun, kata-kata ini juga cuba menekankan bila terakhir pasti kita ingin melakukan yang TERBAIK :)

    Sekadar berkongsi.

    ReplyDelete
  2. Assalammualaikum ..

    ~bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup 1000 tahun lagi, beribadatlah seolah-olah kamu akan mati esok hari~


    ==> Maaf saudari , bagi sesetengah orang akan mengatakan kata-kata ini adalah kata yang boleh mematahkan semangat mereka tetapi beberapa orang yang lain akan menjadikan kata-kata ini merupakan sesuatu yang boleh memberi semangat untuk mereka .. Mengikut pengalaman saya , mereka yang mendapat hidayah dari ILLAHI amatlah memerlukan kata-kata ini untuk meneruskan perjuangan mereka ...

    ==> disebalik kata-kata ini, sebenarnya menyuruh kita berusaha, ikhlas, tekun dan sabar menjalani ibadah harian kita .. supaya kita buat bersungguh-sungguh umpama esok kita nak mati .. wallahualam .. Orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati, sesungguhnya mati itu PASTI .. janganlah berfikiran negatif, memanglah sampai ada yang kata .. ehh , ini hari terakhir aku, ini lah ini lah ... berusahalah untuk bekalan di akhirat dan keperluan di dunia yang sementara .. seiringan lah .. tQ .. maaf ya saudari .. wassalam..

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails