Thursday, May 5, 2011

Air Mata Lelaki

Benarkah lelaki ego? Disebabkan egolah, maka lelaki tidak boleh menangis? Jika setitik air mata lelaki tumpah, apa maknanya?

Mengapa pula aku mesti menangis? Di hadapanku ini ada sekujur tubuh yang terlantar koma. Betapapun aku cuba menghindar, apa yang pernah dilakukan oleh sekujur tubuh itu bagai dilakonkan semula. Sebelum dia koma, aku sengaja menghalau bayangan-bayangan yang mengganggug, tentang apa yang pernah dilakukan untukku. Aku sengaja buat tak tahu. Aku sengaja tak mahu ambil tahu...

1. Kesudiannya menerimaku sebagai suaminya, sedangkan dia bukannya tak tahu, aku tiada pelajaran. Sedangkan kelulusannya setinggi awan. Kerjayanya juga bergaji lumayan. Dia tak kisah. Demi cinta, dia rela.

2. Kesudiannya mengandungkan zuriatku. Ternyata isteriku tidak mandul. Dan ternyata, aku lelaki yang berupaya. Benih yang kutanam dalam rahimnya membesar dengan subur. Dia termengah-mengah tapi aku buat tak endah. Biarlah, itu memang tugas dia: mengandungkan anakku.

3. Dia selalu cuba untuk memberitahuku sedikit-sedikit tentang kewajipan dalam Islam. Kata-katanya berhemah. Seboleh-boleh, dia tak mahu aku tersinggung walaupun sebenarnya tanggungjawab membimbing keluarga berada di tanganku sebagai ketua, bukan dia. Tapi aku buat tak endah juga. Padaku, apa hak dia menasihatiku? Bukannya aku tak tahu hukum-hakam agama. Bila suaranya kedengaran sedikit keras, selamba saja aku bidas dia dengan berkata, tengoklah tu...cakap suara meninggi. Tak reti hormat suami!

4. Aku selalu sibuk cari duit. Jadi, waktu hamil dia pergi ke klinik sendiri. Apa salahnya? Aku kan sibuk, lagipun dia  pandai memandu. Takkan itupun tak faham? Dia jarang beritahu apa kata doktor selepas pemeriksaan. Ada aku kisah?

5. Sepanjang hamil, aku tak pernah menghantar dia ke tempat kerja. Jalan sesak, terpaksa keluar seawal pagi setiap hari...biarlah. Siapa suruh dia nak kerja sangat? Gaji aku, walaupun sikit, sebenarnya masih boleh sara keluarga!

6. Tiap kali dia mengadu penat, senang-senang saja aku suruh dia berhenti kerja. Dia terdiam. Lepas dapat jawapan power itu, dia tak pernah lagi mengaku penat. Balik dari kerja, dia akan urus rumah tangga sampai sempurna.

7. Waktu dia bertarung nyawa melahirkan anakku, aku sikit pun tak rasa kasihan. Mendengar jeritannya mengaduh kesakitan, aku rasa macam nak tutup telinga. Apa susah sangat, teran sajalah!

8. Dia ditahan di wad bersalin selama beberapa hari, kata doktor untuk memastikan keadaannya stabil. Lecehlah! Banyak kerja aku terbengkalai sebab kena jaga dia di wad. Projek besar pun banyak yang terlepas.

9. Disebabkan dia bekerja, aku jarang hulur duit belanja. Tu lah, siapa suruh bekerja? Jom lah kongsi duit gaji untuk rumah tangga. Pada tahun kelima perkahwinan barulah dia merungut yang aku baru sekali dua sahaja beri duit untuk bayar bil utiliti. Aku melenting.

10. Sepanjang perkahwinan, dialah yang beriya-iya mahu menyambut anniversary. Pada aku sama saja. Sambut atau tak sambut, tak ada beza.

11. Setiap kali balik ke rumah lewat malam, aku perasan sangat yang rumahku kemas, tidak berselerak. Aku tahu dia cuba juga melaksanakan tugasnya itu walaupun sepanjang siang penat kerana bekerja. Tapi aku tak pernah memuji. Biarlah, dah memang tanggungjawab dia. Seorang isteri, itulah kerjanya, kan?

12. Pernah dia masam muka kerana tak larat nak layan nafsu aku, lalu aku pun balas dengan perang dingin. Dia salah. Dia wajib layan aku. Kalau tak mahu layan aku, buat apa kahwin?

13. Sesungguhnya, dia tiada hak untuk tanya ke mana aku pergi, dengan siapa aku makan, pukul berapa aku balik ke rumah, ke mana wang kuhabiskan. Itu privasi aku! Aku kan suami!

14. Apa hak dia untuk persoalkan apa yang aku buat untuk ibu bapaku, adik-beradikku, saudara-maraku, datuk nenekku? Biarlah, mereka juga tanggungjawab aku. Bukankah aku wajib melebihkan ibu bapaku berbanding isteri?

15. Bukan hanya sekali, tetapi sudah berkali-kali aku sengaja biarkan dia pergi ke klinik sendirian untuk mengambil suntikan. Buat apa dia tulis di kalender? Kalau aku tak mahu temankan, pandai-pandailah dia bawa diri!

16. Dia yang gatal nak beli kereta tu jadi bayarlah sendiri! Kenapa nak minta duit aku pulak?

17. Walaupun aku berada berdekatan dengan sekolah anak-anak, biarlah dia saja yang ambil anak. Itukan tugas dia? Tugas aku, kan ke mencari nafkah, berapa kali nak cakap?

18. Dia kan bekerja, kenapa pulak nak ungkit-ungkit pasal nafkah? Kalau rasa tak mampu bayar bil, jangan langgan astro, tak payah pakai shower, jangan guna broadband, jangan guna kad kredit! Suka-suka mulut dia saja nak mintak duit lebih.

19. Eh, bukan ke dia tak boleh membantah kalau aku ajak dia balik rumah mak ayah aku? Dia isteri aku jadi dia hak aku. Dia wajib taat. Bukan ke ada hadis yang cakap, seorang isteri tak boleh balik tengok ibu bapanya walaupun mereka sakit/meninggal jika suami tak izinkan? Dia kan lulusan tinggi, takkan dia tak tahu hadis tu?

20. Dia mesti la hormat dengan ahli keluarga aku, iaitu mertua dan ipar-duainya. Apa hal nak buat musuh pulak. Takkan tak boleh fikir, kalau apa-apa berlaku, aku tetap akan balik ke rumah keluarga aku jugak. Dia? Pandai-pandailah!

21. Isy, dia ni memang suka menyusahkan aku la! Time aku sibuk tu lah dia  nak ajak pergi jalan-jalan, pergi makan, pergi kedai, pergi sana, pergi sini, tak boleh pergi sendiri ke!

22. Aku dah bagi 200 ringgit sebulan, takkan malas masak jugak?

23. Dia makin jarang tunggu aku balik kerja. Selalunya bila aku sampai rumah, dia dah lena.

24. Aku tahu dialah yang tunggu anak-anak buat kerja rumah, beri mereka duit belanja sekolah, tunaikan apa saja permintaan mereka. Ha, itulah namanya harta sepencarian. Dia kan ada duit sendiri...

25. Kalau dia ada ramai kawan, kenapa aku tak boleh ada ramai kawan jugak? Lelaki atau perempuan, dia tak boleh persoalkan. Aku ni kan orang bisnes...

26. Dia dah ada kereta sendiri, jangan sibuk nak guna kereta aku pulak.

27. Tiap kali dia kata, "bang, sembahyanglah," selamba saja aku jawab, "tak payah, pahala abang dah berlori-lori."

28. Tak salahpun kalau apa-apa hal, aku tanya dalam telefon saja. Susah la nak bincang dengan dia, cerewet sangat. Dah tu, selalu tak nak sokong pendapat aku.

29. Setahu aku, dia tak pernah lagi tidak gosok pakaian aku. Jika dia hendak pergi kursus 5 hari, dia akan seterika baju aku lima pasang siap-siap. Jadi, tak payahlah aku terkial-kial cari baju dan seluar apa yang akan dipakai.

30. Selalunya, waktu aku buka mata setiap pagi, anak-anak sudah siap untuk pergi sekolah. Dia yang buat semuanya. Apa yang aku buat? Bangun mandi pukul 7;30 pagi, start enjin kereta lepas tu keluar.

31. Tak lama lagi bulan puasa akan sampai. Tak sabar aku nak tengok muka dia waktu aku makan mee goreng pukul 12 tengahari.

32. Akhir-akhir ini aku sengaja locked telefon bimbit dengan nombor pin yang sesiapapun tak tahu, waima dia. Aku tak sukalah kalau dia busy body tentang isi kandungan handset aku...

33. Sebenanrnya banyak lagi yang dia sudah buat dalam perkahwinan ini. Aku tahu hatinya luluh. Aku tahu dia kecewa...tapi, biarlah! Takkan aku nak pujuk dia tiap-tiap hari? Muak aku tengok dia selalu menangis. Sikit-sikit menangis. Dia ingat hati aku akan cair dengan air matanya tu? Sori lah! Lepas tu, suka sangat merajuk. Isy...rimas betul!

...hinggalah ke saat ini. Dia terlantar di hadapanku. Tubuhnya terbujur walaupun masih bernyawa. Dia koma! Aku dapat tahupun selepas beberapa jam dia dimasukkan ke ICU. Salah siapa? Salah aku juga kerana tak mahu jawab telefon yang didail dari nombor tetap. Aku ingat orang insuran nak buat promosi jadi aku memang tak ingin nak layan. Aku call dia tapi dia tak angkat. Dia memang macam tu, pantang aku buat salah sikit, dia bisu. Maklumlah, orang suka merajuk.

Rupa-rupanya dia tidak merajuk. Rupa-rupanya dia kemalangan waktu hendak menjawab panggilanku. Ketika itu dia sedang memandu. Matanya hanya beralih sekejap sahaja, dari jalan ke telefon bimbit dalam tas tangan. Kemudian, dia terbabas. Dia luka parah.

Allah....apa sudah aku buat? Kenapa selama ini aku terlalu prejudis? Kenapa atas dasar ego itu, aku butakan saja segala jasa pengorbanan isteri? ...paling tidak, tak berhakkah dia menerima layanan yang baik, ataupun sekadar ucapan terima kasih?

Baru aku teringat, doktor peribadinya pernah pesan, dia menghidap dua penyakit kronik. Jadi dia tidak boleh dibius, kerana bimbang oksigen tidak cukup dalam badan lalu mengundang musibah lain yang lebih besar, iaitu maut. Waktu doktor cakap macam tu, aku perasan matanya berkaca tapi aku buat tak endah. Pada aku, pandai-pandailah dia jaga diri kalau dah tahu ada penyakit. Banyak kali dia mengeluh yang aku ni tak mahu bawa dia berubat. Sekali lagi, ada aku kisah?

Sebelum aku tiba, doktor buat keputusan yang sukar, iaitu merawat luka parahnya dengan nekad membius seluruh badan. Mujurlah dalam keretanya ada rekod perubatan yang selalu diusung ke mana sahaja dia pergi, jadi mudah untuk sesiapa merujuk jika berlaku 'apa-apa'. Mengetahuinya, aku jadi lemah semangat. Isteriku berdikari, isteriku memang tabah. Dia sakit tenat tapi masih mampu melangkah bergaya di luar rumah. Dia tak mahu mengadu kepadaku sebab aku pernah menyangkalnya. Pernah dia kata, mama dah nak mati kot. Biasalah jawapanku...taklah, lambat lagi. Semuanya terbayang semula. Kenapa ya Tuhan, pada waktu dia memerlukan kekuatan daripada suami sendiri, aku sengaja mengabaikan perasaanya. Padaku, perasaan adalah nonsense! Kita mesti selalu pegang pada hakikat, bukannya perasaan atau emosi.

Aku lihat denyut nadinya lemah. Aku capai surah Yaasin. Teringat pula yang dia sering mengaji setiap malam, selepas solat Maghrib. Dia yang mengajar anak-anak mengaji. Aku? Aku tahu bacaan Yaasinku sendiri tidak betul. Kerasnya lidah untuk menyebut ayat Ilahi.

Saat ini, apa yang mesti aku lakukan? Egoku masih ada. Tetapi jika dia tiada, bagaimana hendak kuuruskan hidupku? Selama ini aku cuci kaki sahaja. Semuanya dia yang sediakan. Jika dia tiada?



Bangunlah sayang. Sedarlah semula. Abang minta maaf. Kali ini betul-betul minta maaf. Tengok ni, air mata abang jatuh kat tangan ayang. Ayang pun tahu, kan...waktu ahli keluarga abang meninggal pun air mata abang tak menitik. Tapi kali ini air mata abang muncul sendiri...bukan dipaksa-paksa. Abang tahu abang banyak menyusahkan sayang. Abang harap abang masih ada peluang untuk betulkan keadaan...tolonglah sayang!

2 comments:

  1. asalam...saya baru join blog ni...
    post p'tama yg saya baca, sungguh menggoda air mata...w'lau diriku bkn seorg lelaki...
    air mata wanita ni bkn mudah juga utk menitis.
    kira sadis bebeno la ni yg menyentuh ke7 petala dasar hati... T T...
    tulisan akak menyedarkan pembaca agar menghargai sesiapa saja yg hdr dlm hdp kita, bkn sekadar suami malah keluarga dan sahabat.... sungguh sayu.
    akak penulis novel ek? kebetulan pula, dh baca baru buat lwtn meneroka segenap blog akak ni.
    saya nak tnya ckit boleh.
    org kata, buah cempedak diluar pagar, ambil galah tlng jolokkn...saya budak baru bljr, jd cari sifu tlng ajarkn...
    saya baru dpt twrn utk terbit novel. n editor nak tngok manuskrip saya. serius x sngka yg dpt peluang mcm tu. saya pun x ada pnglmn dlm terbit2 buku ni. saya nak tnya akak, kalau manuskrip nvl ni biasanya ambl masa bape lama ye nak d cyap kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah, selamat menerjah blog saya :) utk lebih senang berinteraksi, harap dapat cari saya di fb: Ruhana Zaki.

      Delete

Related Posts with Thumbnails