Friday, October 14, 2011
Semakin Hari Semakin Dekat
Salam Jumaat yang mulia kepada semua umat Islam seluruh dunia.
Pernahkah terfikir, apakah yang semakin hampir dengan kita? Mungkin matlamat hidup, kebahagiaan atau kekayaan. Maklumlah, setiap orang, tak kira siapa, pasti ada menyimpan hasrat yang positif lalu berusaha mendapatkannya. Antara matlamat hidup manusia adalah berjaya dalam kerjaya. Setiap orang mendambakan kebahagiaan. Semua orang mahu kaya. Lalu kita semua pun berusaha dan berusaha untuk semua ini...sampai adakalanya ada perkara lain yang amat penting, telah tercicir dalam pencarian ini.
Sedarkah, setiap kita semakin mendekati jodoh dan ajal masing-masing. Anda yang berusia muda di luar sana, yang baharu mendapat teman atau pasangan hidup, apakah pernah terlintas di benak bahawa langkah yang anda ambil pada mulanya, sebenarnya membawa anda menemui pasangan tersebut? Contohnya, sebaik tamat pengajian di universiti, anda ditawarkan bekerja di sebuah negeri yang jauh daripada keluarga. Di negeri asing tersebut akhirnya anda menemui soulmate anda itu. Apakah ia hanya kebetulan? Kerjaya yang mempertemukan jodoh atau jodoh dipertemukan oleh kerjaya?
Setiap hari kita mendengar berita kematian yang tragis. Kemalangan di jalan raya, tali air, sungai, pasar raya dan sebagainya. Apabila panggila ajal hampir tiba, seseorang itu akan tergerak untuk pergi ke tempat dia bakal menemui ajalnya. Tak dapat nak elak. Biasanya, keinginan amat kuat untuk pergi ke tempat-tempat yang jarang dikunjungi. Bukan apa, hanya kerana ajal sedang menanti di situ. Sudah takdirnya begitu...jika sudah sampai masanya, seseorang akan melalui jalan berbahaya yang akan meragut nyawanya. Seseorang akan mandi di kawasan bahaya yang sudah ada malakulmaut di dalamnya.
Sebab itulah, dalam setiap langkah, setiap hari yang bakal kita lalui, beringat-ingatlah selalu. Kita mendambakan jodoh yang terbaik buat diri. Berdoalah ke arah itu. Kita tidak pernah tahu di mana kita ketika ajal tiba. Bersedialah setiap ketika.
Selamat berbahagia dan selamat beramal :)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment