Thursday, July 29, 2010

Kesantunan Berbahasa Lambang Bangsa

1. Cara sapaan lisan/bertulis menurut Bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa.

2. Kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa.

3. Dalam kesantunan berbahasa, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri.

4. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama.

5. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan.

6. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar ``disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib.''

7. Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya  laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan adalah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya.

8. Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.

9, Lihat contoh berikut:


Pak digunakan untuk orang lelaki yang sama sebaya dengan ayah kendiri.

Mak digunakan untuk orang perempuan yang kira-kira sebaya dengan emak kendiri

Tok digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang kira-kira sebaya dengan datuk atau nenek kendiri.

Abang digunakan untuk orang lelaki yang tidak setua ayah kendiri dan juga tidak semuda kendiri.

Kakak digunakan untuk orang perempuan yang tidak setua emak kendiri dan juga tidak semuda kendiri.

Adik digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang lebih muda daripada kendiri.



10. Gelaran Pak atau Mak ketika berkomunikasi ditambah dengan Cik, menjadi Mak Cik atau Pak Cik

11. Jenama kekeluargaan terbahagi kepada:

i. Jenama kekeluargaan pertalian darah (Pak Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Lang, Mak Lang, Pak Njang, Mak Njang, Pak Cik, Mak Cik, Pak Su, Mak Su.

Gabungan nama kekeluargaan asas (Abang (bang) dan Kak dengan jenama kekeluargaan pertalian darah hanya terbatas kepada Long, Ngah dan Cik seperti Bang Long, Kak Long, Bang Ngah, Kak Ngah, Bang Cik dan Kak Cik.



ii. Jenama kekeluargaan ikatan perkahwinan

Diwakili oleh kata menantu, mentua dan ipar. (Pak Mentua, Mak Mentua dan Tok Mentua). Ipar digunakan untuk merujuk kepada ahli-ahli dalam keluarga suami atau isteri selain menantu dan mentua. Contoh: abang ipar, kak ipar, adik ipar, mak long ipar, mak ngah ipar dan sebagainya.


12. Gelaran Pergaulan Bebas

Biasanya Cik digunakan untuk perempuan yang belum berkahwin, manakala Encik untuk lelaki sahaja.


13. Gelaran Pergaulan Tak Bersahaja (Formal)

Tuan - digunakan untuk lelaki yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri, dan orang lelaki bergelar Haji, Doktor, Profesor dan Syed.

Encik, Cik - boleh digunakan untuk orang lelaki yag lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri seperti Encik Ahmad atau Cik Ahmad.

Puan - untuk perempuan sahaja yang pangkatnya lebih tinggi daripada kendiri, dan perempuan yang mempunyai gelaran Doktor, Profesor dan sebagainya.

Saudara - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang seumur dengan kendiri atau lebih muda, dan hubungannya belum rapat dengan kendiri atau digunakan dalam rujukan kepada ahli-ahli dalam mesyuarat, perbahasan dan sebagainya.

Saudari - digunakan untuk perempuan sahaja dalam konteks yang sama dengan penggunaan gelaran saudara.

Tetuan - hanya digunakan dalam surat rasmi yang ditujukan kepada para pemilik atau pentadbir syarikat perniagaan (termasuk syarikat guaman) seperti: Tetuan Syarikat Sinaran Sdn. Bhd.)


14. Gelaran Warisan

Contoh Raja (Perak, Selangor), Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda (Brunei Darussalam) Tengku (Kelantan, Pahang, Kedah, Terengganu).

Gelaran keturunan orang-orang besar; Megat dan Puteri (Perak), Nik (Kelantan), Wan (Kelantan, Terengganu), Abang (Sarawak); Datu (Sabah), Awangku, Pangeran dan Dayangku (Brunei Darussalam), Tan (di Kedah) dan Tun (Terengganu)

Gelaran warisan kepada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti Syed atau Sayid bagi lelaki dan Syarifah bagi perempuan. Sesetengah pihak mengatakan bahawa gelaran Syarif, Syeikh dan Siti juga tergolong ke dalam gelaran jenis ini.

Gelaran warisan daripada keturunan yang berasal dari luar Malaysia seperti Daeng (Bugis), Sidi, Sutan (Minangkabau), Teuku dan Teungku (Aceh).

15. Gelaran Kurniaan

Contohnya  Tun, Toh Puan, Puan Sri, Datuk (Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk Setia), Datuk (Datuk Patingi, Datuk Amar), Datin Paduka (gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan negeri Selangor), Toh Puan (isteri kepada Datuk di Terengganu)

Pendeta Za'aba (gelaran kurniaan yang diberikan oleh pertubuhan seperti Kongres Bahasa Melayu Ketiga (1956). Gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


16. Gabungan Gelaran

(a) kekeluargaan + keagamaan - Pak Haji

(b) Pergaulan Tak Bersahaja (kecuali saudara) + Keagamaan - Tuan Haji

(c) Kekeluargaan + warisan (hanya Ungku, Engku, Wan, Nik) - Pak Ungku, Mak Ungku, Mak Wan, Pak Nik

(d) Pergaulan Tak Bersahaja + Keagamaan + Warisan (hanya Nik). Contoh: Tuan Haji Nik

(e) Warisan (Kecuali Nik) + Keagamaan. - Raja Haji

(f) Kurniaan Kerajaan + Akademik/Ikhtisas + Warisan + Keagamaan - Tan Sri Prof. Raja Haji Osman


17. Rujukan Hormat Orang Yang Disapa Rujukan Hormat

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda

Sultan, Raja, Sultanah, Tengku Ampuan, Raja Permaisuri: Duli Yang Maha Mulia

Balu Raja: Yang Maha Mulia

Raja Muda atau Tengku Mahkota: Duli Yang Teramat Mulia atau Yang Teramat Mulia

Kerabat Diraja Karib: Yang Amat Mulia

Gelaran Warisan: Yang Mulia

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri: Yang Amat Berhormat

Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Wakil Rakyat): Yang Berhormat

Wakil Rakyat yang mempunyai gelaran Tengku atau Raja: Yang Berhormat Mulia

Tun, Toh Puan: Yang Amat Berbahagia

Yang mempunyai gelaran kurniaan kerajaan (selain Tun dan Toh Puan) atau/dan gelaran ikhtisas yang formal: Yang Berbahagia

Ketua Hakim Negara: Yang Amat Arif

Ketua Polis Negara: Yang Amat Setia

Hakim, Kadi: Yang Arif

Mufti dan Pemimpin Islam: Sahibul Samahah

Ketua jabatan tanpa gelaran: Yang Berusaha

Sumber: tutor.com

*** alangkah santunnya Bahasa Melayu. Bagaimana pula dengan Orang Melayu???



No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails