Tuesday, November 23, 2010

Mahir Bahasa

Dalam Bahasa Melayu, hanya kata ini sahaja yang dieja rapat untuk membentuk satu kata yang lain, iaitu:

1. antarabangsa
2. tandatangan
3. sukarela
4. olahraga
5. matahari
6. jawatankuasa
7. bumiputera
8. beritahu
9. kerjasama
10. warganegara
11. tanggungjawab
12. pesuruhjaya
13. sukarela
14. suruhanjaya
15. kakitangan

Bagi semua kata di atas, untuk menunjukkan banyak hendaklah digandakan secara keseluruhan, contohnya:

tandatangan-tandatangan, suruhanjaya-suruhanjaya, warganegara-warganegara.

Bagi perkataan  lain, hanya kata yang pertama sahaja yang digandakan, contohnya:

guru besar : guru-guru besar
suku kata : suku-suku kata
kapal terbang : kapal-kapal terbang
rumah tangga : rumah-rumah tangga

Perkataan ini mempunyai formula tertentu jika hendak menggunakan imbuhan, iaitu:

campur aduk + imbuhan awalan/akhiran = bercampur aduk
campur aduk + imbuhan apitan = mencampuradukkan

ambil alih + imbuhan awalan/akhiran = ambil alihan
ambil alih + imbuhan apitan = pengambilalihan

* semoga kita akan menggunakan formula yang betul ketika menulis dan bertutur menggunakan bahasa ibunda ini.

Tuesday, November 16, 2010

Iktibar Hidup

Iktibar 1:

Suatu hari, sekumpulan orang soleh berhimpun untuk membicarakan tentang masalah pendek angan-angan. Orang pertama berkata, "Angan-anganku sudah pendek, sehingga ketika waktu pagi tiba, aku berkata bahwa diriku takkan hidup hingga petang." Dikatakan kepadanya, "Angan-anganmu itu panjang."

Orang kedua berkata, "Demi Allah setiap kali mengangkat kaki, aku tidak yakin dapat meletakkannya kembali di muka bumi," Dikatakan kepadanya, "Angan-anganmu itu panjang."

Orang ketiga pula berkata, "Demi Allah setiap kali menghembuskan nafas, aku tidak yakin dapat menghelanya kembali."

Dalam sebuah riwayat sahih disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bertayammum sejurus selepas membuang hajat. Para sahabat berkata, "Ya Rasulullah, tempat air sangat dekat." Kata baginda, "Aku tidak tahu apakah aku boleh sampai ke tempat air itu." (HR Ahmad)

Iktibar 2:

Muawiyah bin Abu Sufyan hidup selama 80 tahun atau lebih. Dia pernah berkata, "Semua pakaian pernah aku pakai tetapi tiada yang melebihi pakaian takwa. Segala sesuatu telah aku nikmati tetapi tiada yang mengungguli kesabaran. Segala makanan telah kunikmati tetapi tiada yang sehebat bergaul dengan orang-orang soleh. Kelazatan yang tersisa dalam hidupku hanyalah duduk bersama saudara yang dapat mendekatkanku kepada Allah, aku menceritakan segala bebanku dan dia juga menceritakan segala bebannya."

Iktibar 3:

Pada suatu hari, seorang lelaki dari kabilah Ghifar yang sudah berusia 60 tahun dengan janggut panjang memutih hingga ke dada melalui sekumpulan anak kecil yang sedang bermain. Ketika melihat lelaki tua itu, anak-anak kecil tadi ketawa.

Lelaki itu berasa hairan lalu bertanya, "Mengapa kamu ketawa?"

Salah seorang daripada anak-anak kecil tadi membalasnya dengan soalan, "Wahai pakcik, berapa engkau membeli janggut ini?"

Jawab lelaki tua itu, "Wahai anakku, zaman telah menjualnya kepadaku tanpa ada harganya, dan diapun akan memberikan kamu janggut yang sama."

Monday, November 15, 2010

نصيحة لقمان لابنه

يا بني
لا تضحك من غير عجب
ولا تمش من غير أدب
ولا تسأل عما لا يعنيك

يا بني
إنه من يرحم يرحم
ومن يصمت يسلم
 ومن يقل الخير يغنم
ومن يقل الباطل يأثم
ومن لا يملك لسانه يندم

يا بني
إستعن بالكسب الحلال عن الفقر
فإنه ما افتقر أحد قط إلا أصابه ثلاث حصال
رقة في دينه وضعف في عقله وذهاب مروءته
وأعظم من هذه الثلاث استخفاف الناس به


Friday, November 12, 2010

Kerana-Mu Aku Berubah

Alhamdulillah, dengan izin Ilahi saya dapat menyiapkan sebuah buku lagi. saya sangat bersyukur kerana dalam kesibukan bekerja, masih diberi peluang untuk menitipkan ilham yang akhrnya dicetak untuk tatapan umum.

Ilham menulis buku ini tercetus pabila setiap hari saya melihat remaja dan anak gadis sebangsa dengan saya dan seagama dengan saya begitu jauh terlibat dalam kegelinciran akhlak. Mereka bebas bergaul tanpa mengendah batasan syariat. Mereka bebas membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Mereka tega menayang kecantikan tanpa rasa takut. Pendek kata, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan padangan dan hisab Yang Maha Esa.

Lebih jauh daripada itu, saya sebagai ibu ingin mengingatkan diri sendiri bahawa mendidik anak perempuan itu bukannya mudah. Mendidik anak lelaki juga payah. Jika kita sebagai ibu tidak memainkan peranan yang sepatutnya, lihatlah apa yang banyak berlaku kini. Remaja hilang kualiti, remaja malu untuk hidup beragama, remaja malu mengakui dirinya seorang yang beragama Islam.

Sebagai ibu dan guru pertama, di bahu kita jugalah terletak hisab yang paling berat. Kitalah yang bertanggungjawab untuk memastikan kelahiran generasi yang berkualiti dan berakhlak mulia. Bermula dengan diri kita yang mesti menanamkan kualiti dalam diri dan menyuburkan akhlak mulia dalam hati nubari.



Buku ini tidaklah hebat. Tetapi saya mengharap sedikit ilmu di dalamnya akan dimanfaatkan bersama. Kita perlu berubah. Kita mesti berani berubah jika hendak menempah redha Ilahi. Berubah kerana Allah, berubah menuju Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang.

Wednesday, November 10, 2010

Amalkan Selalu...

  • Perbanyakkan menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk.

  • Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

  • Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

  • Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

  • Jangan menyebut-nyebut dan menampakkan keburukan atau keaiban orang lain.

Amalkan Segala Yang Baik

Manusia ada tiga kategori:

Yang berjaya

Hari ini lebih baik daripada semalam.

Yang terpedaya

Hari ini sama seperti semalam.

Yang celaka

Hari ini lebih teruk daripada semalam.



Jika hari anda statik selama dua hari, pasti anda menemui kagagalan. Jadi, pastikan setiap hari kita ada peningkatan, terutama usaha dan amalan kebaikan.



Hidup ini terlalu singkat, justeru lakukanlah amal kebaikan pada hari ini juga.



Pelajar yang selekeh semasa belajar akan selekeh seumur hidup.



Orang yang jarang berfikir paling minimum mempunyai 10,000,000,000 sel otak (neuron)

Orang yang rajin berfikir mempunyai sehingga 1,000,000,000,000 sel otak. Semakin kerap kita berfikir semakin banyak sel otak terbentuk.



Fungsi pancaindera:

Kita akan ingat 10% apa yang dibaca

Kita akan ingat 20% apa yang kita dengar

Kita akan ingat 30% apa yang kita lihat

Kita akan ingat 50% apa yang dilihat dan didengar serentak

Kita akan ingat 70% apa yang disebut

Kita akan ingat 90% apa yang disebut dan dilakukan serentak



Thursday, November 4, 2010

Di Mana Kan Kucari...

cinta silam begitu membahagiakan. setiap kali aku tenggelam di dalamnya, aku mampu tersenyum. kemudian aku menangis. menangis kerana tertanya-tanya, mengapa cinta yang membahagiakan itu tidak kekal lama dalam hidupku...

kuakui, itulah kali pertama dan terakhir aku bahagia. biarlah aku dikata gila mengenang cinta lama tetapi tahukah, dengan cinta itulah aku meneruskan hidup pada hari ini. dengan semangat yang dititip cinta itulah aku masih berani melangkah dan menongkah arus usia hari ini. tanpa cinta itu, aku juga sudah lama mati. tanpa cinta itu, sudah pasti aku sudah merosakkan diri.

sebenarnya, jiwaku tidaklah tabah. sebenarnya, aku cuma berlakon saja. jauh dari pandangan, aku merintih dan merintih. aku menangis dan menangis. aku sebenarnya sudah tidak mampu menghadapi dugaan demi dugaan yang tak henti-henti. dugaan yang berupa sandaran manusia yang tak pandai mengenang budi.

jika dulu, ada seseorang yang berani mempertahankan diriku. ada seseorang yang sanggup mempertahankan cintanya buatku. kala itulah aku berasa betapa indahnya cinta. kami miskin harta tapi anehnya kami bahagia. itulah yang amat kusyukuri tentang cinta itu. itulah yang membuatkan aku begitu mengagungkan cinta itu.

hidup mesti diteruskan selagi ada nyawa. suka atau tak suka, hidup ini mesti juga kulalui meskipun pahit. aku ada amanah yang mesti kujaga dengan sepenuh jiwa. biarlah hati perasaanku terkorban. biarlah segala harapan peribadi punah ranap asalkan amanah yang kutanggung itu tidak dipersoalkan di mahkamah akhirat kelak.

tiada siapa yang mahu peduli harapan peribadiku. walaupun setelah kukorbankan segalanya. aku berusaha menjaga hati semua tapi tika aku susah, tiada siapapun yang sudi bersimpati. malah aku makin jauh dilempar ke tepi. aku seolah-olah tidak dikenali. jika ada sebab mereka datang, jika tiada mereka buang. betapa sukarnya untuk mencari bahagia...sedangkan pengemis yang menadah tangan di kaki lima pun tidak sehina ini.

beginilah hidup yang mesti kulalui...entah untuk berapa lama lagi.
Related Posts with Thumbnails