Thursday, November 4, 2010

Di Mana Kan Kucari...

cinta silam begitu membahagiakan. setiap kali aku tenggelam di dalamnya, aku mampu tersenyum. kemudian aku menangis. menangis kerana tertanya-tanya, mengapa cinta yang membahagiakan itu tidak kekal lama dalam hidupku...

kuakui, itulah kali pertama dan terakhir aku bahagia. biarlah aku dikata gila mengenang cinta lama tetapi tahukah, dengan cinta itulah aku meneruskan hidup pada hari ini. dengan semangat yang dititip cinta itulah aku masih berani melangkah dan menongkah arus usia hari ini. tanpa cinta itu, aku juga sudah lama mati. tanpa cinta itu, sudah pasti aku sudah merosakkan diri.

sebenarnya, jiwaku tidaklah tabah. sebenarnya, aku cuma berlakon saja. jauh dari pandangan, aku merintih dan merintih. aku menangis dan menangis. aku sebenarnya sudah tidak mampu menghadapi dugaan demi dugaan yang tak henti-henti. dugaan yang berupa sandaran manusia yang tak pandai mengenang budi.

jika dulu, ada seseorang yang berani mempertahankan diriku. ada seseorang yang sanggup mempertahankan cintanya buatku. kala itulah aku berasa betapa indahnya cinta. kami miskin harta tapi anehnya kami bahagia. itulah yang amat kusyukuri tentang cinta itu. itulah yang membuatkan aku begitu mengagungkan cinta itu.

hidup mesti diteruskan selagi ada nyawa. suka atau tak suka, hidup ini mesti juga kulalui meskipun pahit. aku ada amanah yang mesti kujaga dengan sepenuh jiwa. biarlah hati perasaanku terkorban. biarlah segala harapan peribadi punah ranap asalkan amanah yang kutanggung itu tidak dipersoalkan di mahkamah akhirat kelak.

tiada siapa yang mahu peduli harapan peribadiku. walaupun setelah kukorbankan segalanya. aku berusaha menjaga hati semua tapi tika aku susah, tiada siapapun yang sudi bersimpati. malah aku makin jauh dilempar ke tepi. aku seolah-olah tidak dikenali. jika ada sebab mereka datang, jika tiada mereka buang. betapa sukarnya untuk mencari bahagia...sedangkan pengemis yang menadah tangan di kaki lima pun tidak sehina ini.

beginilah hidup yang mesti kulalui...entah untuk berapa lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails