Facebook merupakan gelombang yang amat cepat merebak dalam negara kita. Asalnya, facebook menjadi medium untuk menjejak rakan-rakan satu kampung, satu sekolah rendah, satu sekolah menengah, satu universiti, satu persatuan dan sebagainya. Para pelajar pula mempergunakan facebook untuk menjejak semula guru-guru mereka, bermula dengan guru tadika hinggalah pensyarah universiti. Alangkah bagusnya ada facebook. Perpisahan selama 20 tahun pun boleh bertaut semula dengan mudah.
Namun awas, semakin facebook 'berleluasa', semakin pula niat kita terpesong. Bukan sekadar hendak menjejak kawan lama, malah kekasih lama turut dijejak. Tak tahulah sama ada hendak menjalin kembali hubungan yang terputus, atau hendak melunaskan dendam akibat hubungan yang tak menjadi. Awas! Jangan mulakan dosa ini! Terutama sekali jika bekas kekasih anda itu sudah berkahwin dan amat bahagia dengan keluarganya. Lainlah jika dia masih solo dan sememangnya menanti-nanti anda muncul semula untuk memulakan cinta baru.
Awas juga jika anda berniat menyambung persahabatan yang lama putus untuk bersama-sama dengan anda dalam satu-satu perniagaan. Setahu saya, ada yang suka tetapi lebih ramai yang tak suka! Kata mereka, "hapus sudah rasa rindu puluhan tahun yang dipendam pabila rakan lama add friend lepas tu nak kempen bisnes dia!"
Oh...ternyata niat berfacebook sudah disalahgunakan...bukan makin ramai yang menyukai anda, malah makin ramai pula yang akan 'unfriend' anda dalam diam.
Terutamanya wanita, facebook merupakan medium yang paling bagus untuk menayang harta-benda. Ataupun kelebihan yang ada pada dirinya sekeluarga. Namun, terpulanglah kepada pembaca untuk mentafsirkan maksud di sebalik tayangan tersebut, dan terpulanglah juga kepada si empunya wall sama ada hendak berkongsi kegembiraan dengan kawan-kawan, atau senang cakap, nak tayang kasih sayang suami kepada dirinya, atau 'nak buat orang cemburu melihatnya bahagia'.
Sekali lagi, ini semua terpulang pada niat anda para wanita, saat anda mahu menekan butang 'share' di facebook anda. Ya, untuk bersangka baik, anda sekadar mahu berkongsi kegembiraan. Tapi pernahkah terfikir, rakan-rakan di facebook tersebut tidaklah sebahagia atau seuntung anda. Mereka tak mampu pergi melancong ke luar negara jadi mereka berasa jauh hati pabila anda memuat naik gambar-gambar ketika bercuti di luar negara. Atau mereka baru sahaja bercerai hidup/bercerai mati jadi mereka masih bersedih. Jadi, jangan sangka anda boleh berbangga dengan menayangkan aksi berpeluk-pelukan dengan pasangan (walaupun pasangan yang sah), di facebook. Atau mereka insan yang hidup bersederhana bahkan ada yang tidak mampu seperti anda, jadi, apakah anda fikir mereka suka melihat anda menayang hadiah hari jadi daripada suami yang berharga mahal itu, siap ada part 1, part 2, part 3 bagai?
Ya, barangkali kita ikhlas pada awalnya. Namun jangan sangka keikhlasan itu akan berkekalan jika mendapat respon yang menggebu-gebu daripada rakan-rakan. Nilai semula niat asal kita memuat naik sesuatu gambar yang mempamerkan kita ini 'lebih daripada orang lain' dari sudut materialis.
Ah, barangkali ada lebih ramai lagi kawan-kawan kita di facebook itu yang lebih kaya dan lebih bahagia daripada kita. Hanya saja mereka tidak menunjuk-nunjuk di facebook. Perkara yang baik akan sampai ke pengetahuan ramai juga tanpa perlu menunjuk-nunjuk...
Apa-apapun, manfaatkanlah facebook untuk kebaikan secara seluruhnya. Hakikatnya, facebook boleh menjadi medium untuk kita mengumpul dan berkongsi sebanyak-banyak pahala. Dan, ingat selalu, sebelum hendak 'post' sesuatu, apakah pos kita itu berbau ikhlas? Hmm...ada baiknya kita jaga hati rakan-rakan facebook kita juga, itu lebih baik daripada kita memuaskan kemahuan peribadi sahaja.
Dan, jangan pula lupa, ada masa-masanya pembaca lebih arif untuk mengesan niat kita...