Wednesday, January 11, 2012

Keliru sungguh. Baharu, baru atau baru-baru?


Kata 'baru' dan 'baharu' merupakan kata adjektif yang digunakan untuk merujuk sesuatu yang belum dipakai atau belum lama dipakai, contohnya basikal baru/baharu atau kasut baharu/baru. Padanan bahasa Inggerisnya ialah new.

Kata baru sebagai kata bantu digunakan dalam konteks 'tidak berapa lama dahulu' atau 'tidak lama sebelum ini'. Contohnya baru-baru ini, baru tiba, baru sedar. Padanan bahasa Inggeris bagi 'baru' di sini ialah just, dan 'baru-baru' ini ialah recently.

Contoh:

-Ayah membelikan adik basikal baharu/baru.
-Selepas saya jelaskan baru dia sedar.


~kuasai bahasa anda~

Sendi Nama "ke", "kepada", "pada", "di"


1. SN "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, arah atau tempat yang dituju, dan adakalanya menunjukkan waktu dan masa. Contoh:

i. Dia menjenguk ke dalam bilik itu.
ii. ...dan kesejukannya memanjang sampai ke pagi.
iii. Waktu dia menoleh ke kiri dan ke kanan, cahaya kemerah-merahan sore telah lenyap.
iv. Bulan Muharam sudah sampai ke penghujungnya.

2. SN "kepada" digunakan dengan maksud arah dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama yang merujuk kepada orang atau objek. Contoh:

i. Aku bercerita kepadanya apa yang telah berlaku kepadaku dulu.
ii. Nathan mengalihkan pandangannya kepada padi yang sedang disukat.
iii. Pandangan mereka tertumpu kepada seekor kelkatu yang terbang mengelilingi pelita.

3. SN "pada" digunakan dalam beberapa situasi tertentu seperti berikut:

3.1 Untuk menandakan keterangan waktu, apabila SN ini mendahului kata nama atau frasa nama yang menyatakan waktu atau masa.

Contoh:
i. Pada malam begini, sebuah dua kereta lalu juga di jalan itu.
ii. Dia cuba melawan kesedihan hatinya pada sore bulan Oktober itu.
iii. Jenazah isterinya telah selamat dikebumikan pada kira-kira jam 11 keesokan harinya.

3.2 Untuk menandakan sesuatu tempat yang tetap dan letaknya mendahului kata nama atau frasa nama. "Tempat" di sini dapat merujuk kepada orang atau objek.

Contoh:
i. Aku akan menggantung buaian pada sebatang dahan.
ii. Percakapannya lembut dan pada tempat-tempat tertentu berat dengan perasaan sedih.
iii. Jelas benar, tiada apa-apa yang lucu pada pertanyaan itu.

3. SN "di" khusus digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat yang tetap.
Contoh:

i. Kaki-kaki hujan yang runcing lagi lembut menderap turun di atas bumbung.
ii. Aku sering berasa bimbang untuk tinggal di dalam rumah itu.
iii. Aku berdiri di dalam sungai sambil mencuci kain di atas sekeping batu leper.

Sama-samalah kita berbahasa dengan betul :)



Thursday, January 5, 2012

KARNIVAL BUKU KARANGKRAF 2012





datanglah beramai-ramai!

Sendi Nama Yang Saling Bergantian



Za'ba mendefinisikan Sendi Nama (SN) sebagai:
"...kata-kata yang khas di-pakai dengan nama atau ganti-nama sahaja bagi menunjokkan persangkutan nama atau ganti-nama itu dengan sa-suatu perkataan lain di-dalam ayat." (Za'ba:1965)

SN yang dapat saling bertukar ganti adalah:

i. "bagi" dan "untuk"

Contoh:
-Bagi mengisi waktu sambil berada di sisi isterinya, lelaki itu menyirat jala untuk kegunaannya bila sudah siap nanti.
-Untuk beberapa ketika, kata-kata itu tidak terkeluar daripada bibirku.

ii. "sampai" dan "hingga"

Contoh:
-Aku berasa sedih dan pilu sampai jatuh sakit.
-Aku masih bersyukur dan tetap bersyukur hingga ke hari ini walaupun kemudiannya kami tidak putus-putus dirundung malang.

iii. "tentang" dan "mengenai"

Contoh:
- Rupa-rupanya mereka sudah mendapat tahu tentang keserakahan Jepun terhadap perempuan.
-Tetapi kau tidak tahu apa-apa mengenai kerja itu.

iv. "seperti", "bagai" dan "umpama"

Contoh:
-Seperti sejuta kunang-kunang, bintang di langit berkelipan.
-Ira terlonjak-lonjak memerhati dengan wajahnya bagai sekuntum bunga.
-Dia sangat baik dan saya sendiri tidak tahu kenapa dia harus menerima nasib buruk seumpama itu...


Rujukan: Sendi Nama dalam Bahasa Melayu, DBP (2011)





Related Posts with Thumbnails