14 November lalu merupakan hari bersejarah bagi murid-murid Tahun Enam kerana pada hari tersebut, keputusan UPSR diumumkan. Alhamdulillah nampaknya UPSR tiada kontroversi pada tahun ini.
Pada hari tersebut, saya bermesyuarat di KPM. Ada beberapa orang sahabat yang sama-sama bermesyuarat mengumpul debar kerana anak-anak mereka juga mengambil UPSR. Saya senyum melihat debar mereka. Belum pukul 10 pagi, mereka sudah menaip SMS untuk mendapatkan keputusan. Melihat wajah ketat mereka, saya juga turut rasa berdebar-debar. Mana tidaknya, saya juga pernah merasainya pada tahun 2012.
Di dinding fb mula penuh sarat dengan post yang menayang wajah-wajah anak-anak yang berjaya mendapat 5A. Abah dan ummi amat berbangga denganmu, anak, tulis mereka di situ. Ya. Ayah ibu patut berasa bangga. Mana tidaknya, banyak wang ringgit dilaburkan untuk anak-anak menghadiri kelas tambahan dan sebagainya. Tidakkah rasa membazir jika dengan pelaburan sebegitu besar, anak-anak tidak mendapat 5A?
Tak kurang ramai juga yang kecewa pabila anak yang diharap-harap itu, tidak mendapat 5A. Hah! Dapat 4A 1B pun kecewa? Apakah 4A 1B itu tidak cemerlang? Bagaimana pula agaknya...dengan anak-anak yang mendapat keputusan di bawah 3A...atau tiada A langsung?
Apakah anak begitu terus dilabelkan gagal? Sempat saya tersenyum ketika seorang sahabat post satu status: Dulu saya dapat 2A 2B 1C dalam UPSR...bla...bla...akhirnya sahabat saya ini berjaya juga dalam hidupnya, malah lebih cemerlang daripada saya yang mendapat 5A ini.
Hakikatnya, 5A hanyalah permulaan. Kebanyakan orang mahukan permulaan yang baik. Namun, bukanlah suatu kegagalan yang besar atau abadi jika UPSR tidak memberikan permulaan yang baik kepada anak-anak kita. Ada banyak faktor mengapa ada anak-anak kita tidak berjaya sejak mula. Ada yang mula menunjukkan peningkatan ketika berada di sekolah menengah. Ada yang mahu mula belajar bersungguh-sungguh setelah masuk kolej. Malah ada yang mahu memulakan semangat hidup ketika sudah berumah tangga.
Adakah itu bermaksud mereka gagal?
Tegakah anda melabel anak anda sebagai gagal? Tentu tidak, bukan? Anak yang kita kandung dengan susah-payah, anak yang kita curahkan sepenuh kasih-sayang...mustahillah kita sanggup melabelnya sebagai gagal.
Ayuh, ayah ibu yang anaknya tidak mendapat 5A, 14 November bukanlah penghujung segala-galanya. 14 November 2013 merupakan permulaan yang cerah buat anakmu. Izinkan mereka berehat seketika sebelum memasuki alam sekolah menengah. Kemudian, apabila fajar 2014 menjelma, berdampinglah dengan mereka dan luangkanlah masa untuk mengetahui apa yang mereka suka. Tak semestinya orang yang tidak meminati pen dan kertas tidak memiliki masa depan yang cerah.
Rezeki ada di mana-mana. Jika anak-anak meminati sesuatu kemahiran, galakkan mereka menceburi bidang tersebut secara bersungguh-sungguh. Percayalah, zaman ini, pen dan kertas bukan satu-satunya bidang yang menjanjikan kemewahan. Bidang kemahiran juga tak kurang keuntungannya.
Yang paling penting adalah kesedaran ibu bapa terhadap peri pentingnya ilmu agama yang diamalkan oleh anak-anak. Zaman ini, sering kita dengar keluhan daripada guru-guru bahawa murid-murid cerdik semakin kurang yang berbudi bahasa. Bagi mereka, jika mereka bijak, that's it. Adab dan budi bahasa tidaklah penting bagi golongan yang bijak pandai.
Bagi saya, biarlah seseorang anak itu sederhana kepandaiannya namun adab sopannya biarlah 200%. Begitu juga dengan amalan agamanya.
Oleh sebab itu wahai ayah ibu, usahlah bersedih jika anakmu tidak mendapat 5A pada kali ini. Peluang masih ada...PBSMR tiga tahun lagi dan SPM lima tahun lagi. Mungkin ketika memasuki alam sekolah menengah, mereka lebih minat untuk belajar kerana pada waktu itu, mereka sudah mula diletakkan di dalam kelas mengikut kemahiran masing-masing.
Allah Maha Adil. Rezeki untuk anak-anak sudah ditetapkan. Namun kita sebagai ibu bapa tetap masih kena berusaha. Walau bagaimanapun, jangan berhenti bersangka baik kepada-Nya. Yakinlah!