Monday, May 9, 2011

10 tahun mencari cinta



melihat pasangan remaja bercanda di tepi tasik, di taman permainan, di pusat membeli-belah...tak kira tempat itu tersorok, terbuka, tiada orang atau sesak dengan pengunjung...asyik-mahsyuk sekali. begitu mudahkah mereka mendapat cinta?

sesudah diijab dengan akad yang sah, dan dikabul dengan mas kahwin yang halal, kenapa cinta menjadi terlalu sukar? seolah-olah cinta itu lari menyorok, ataupun hilang entah ke mana.

cinta pasangan belum berkahwin dan cinta pasangan yang sudah berkahwin pun boleh kita bezakan dengan mudah. walau bagaimanapun, cinta sebelum berkahwin dan cinta sesudah berkahwin amat berbeza definisinya.

pabila suami atau isteri mula dihambat tugasan dan kerjaya, adakalanya cinta sudah lupa diungkap, adakalanya cinta sudah lupa untuk dizahirkan. bukan tiada cinta. cinta masih ada, cuma...adakalanya cinta dipandang tidak lagi penting seperti sebelum kahwin.

adakalanya pula cinta membuahkan cemburu yang melulu. adakalanya cinta menjadi punca perpisahan. cinta yang terlalu banyak merimaskan, cinta yang terlalu sedikit pula...menyedihkan.

mana satu cinta yang mesti kita pegang? dalam perkahwinan, keperluan cinta bagi setiap pasangan tidak sama. jangan pula memandang suami orang yang romantik sebagai kekurangan suami anda yang tidak romantik. usahlah memandang isteri orang yang cantik sebagai kekurangan isteri anda yang tidak cantik. jika cinta diletak kena pada tempatnya, bukanlah romantik atau cantik yang menjadi persoalannya.

dalam perkahwinan, cinta mestilah disulami dengan persefahaman, tolak-ansur dan menerima tanpa banyak keluhan. sebab perkahwinan bukanlah cinta semata-mata. perkahwinan ada komitmen lain yang lebih penting termasuklah zuriat, kerjaya dan matlamat membina ummah yang terbilang.

ada perkahwinan hancur beralaskan cinta. kata isteri, suami tidak lagi mencintainya seperti waktu sebelum nikah. suami terlalu rajin bekerja. kata suami pula, isteri tidak lagi mencintainya sama seperti muda-muda. isteri asyik luangkan masa untuk anak-anak sahaja.

masing-masing saling menyalahkan. aneh. tetapi itulah perkahwinan. setiap orang hanya akan mengetahui sesudah memasukinya. jadi, jangan sewenang-wenang membandingkan cinta sebelum kahwin dan cinta sesudah kahwin. kebanyakan orang mengalami cinta yang tidak serupa dalam dua alam ini.

ada orang seronok bercinta ketika sebelum nikah sahaja. sesudah nikah, (walaupun bernikah dengan orang yang sama ketika bercinta), rasanya tidak sama lagi. walau bagaimanapun, ikhtiar masih perlu. jangan biarkan rumahtangga yang dibina dengan susah-payah itu hambar begitu sahaja. cinta tetap perlu. tetapi dalam bentuknya yang tersendiri.

sebab itulah ada pasangan yang terpaksa mengambil masa...10 tahun untuk mencari cintanya...cinta sesudah ijab dan kabul...

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails