Thursday, December 9, 2010

Kerana-Mu Aku Berubah

Buku baru, buku baru! Masih panas lagi...baru terbit dari kilang. Jangan ketinggalan memilikinya, sama ada dengan membelinya di toko buku, ataupun melanggan terus dari Karangkraf. Jika melanggan terus dari Karangkraf, saya percaya anda akan untung besar kerana pihak penerbit akan memberi diskaun untuk harga buku dan pengecualian bayaran pos. Tentu berbaloi, kan???


Dalam tempoh setahun, saya berjaya menghasilkan dua buah buku motivasi islamik yang diterbitkan oleh Karya Bestari @ Grupbuku Karangkraf. Pencapaian ini sangat saya syukuri kerana merupakan suatu pencapaian yang sangat baik bagi saya, dalam bidang penulisan setakat ini. Kesibukan bukanlah alasan asalkan hati mahu melakukannya. Menulis buku-buku ini memanglah mencabar kerana memerlukan pemerhatian yang teliti terhadap sesuatu isu. Selain itu, saya juga perlu berhati-hati ketika memasukkan dalil naqli:al-Quran dan hadis. Melalui penulisan, saya merebut peluang untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu Islam.




Saya dengan setulus hati ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih tak terhingga buat team Karya Bestari yang sentiasa menyemarakkan semangat saya untuk terus menghasilkan karya yang berunsur keislaman. Sedikit sebanyak saya berniat untuk menyumbang kepada masyarakat melalui bidang ini. Semogalah buku-buku saya akan memberi walaupun sedikit manfaat kepada pembaca.


Salam ukhuwah dan selamat membaca!

Tuesday, November 23, 2010

Mahir Bahasa

Dalam Bahasa Melayu, hanya kata ini sahaja yang dieja rapat untuk membentuk satu kata yang lain, iaitu:

1. antarabangsa
2. tandatangan
3. sukarela
4. olahraga
5. matahari
6. jawatankuasa
7. bumiputera
8. beritahu
9. kerjasama
10. warganegara
11. tanggungjawab
12. pesuruhjaya
13. sukarela
14. suruhanjaya
15. kakitangan

Bagi semua kata di atas, untuk menunjukkan banyak hendaklah digandakan secara keseluruhan, contohnya:

tandatangan-tandatangan, suruhanjaya-suruhanjaya, warganegara-warganegara.

Bagi perkataan  lain, hanya kata yang pertama sahaja yang digandakan, contohnya:

guru besar : guru-guru besar
suku kata : suku-suku kata
kapal terbang : kapal-kapal terbang
rumah tangga : rumah-rumah tangga

Perkataan ini mempunyai formula tertentu jika hendak menggunakan imbuhan, iaitu:

campur aduk + imbuhan awalan/akhiran = bercampur aduk
campur aduk + imbuhan apitan = mencampuradukkan

ambil alih + imbuhan awalan/akhiran = ambil alihan
ambil alih + imbuhan apitan = pengambilalihan

* semoga kita akan menggunakan formula yang betul ketika menulis dan bertutur menggunakan bahasa ibunda ini.

Tuesday, November 16, 2010

Iktibar Hidup

Iktibar 1:

Suatu hari, sekumpulan orang soleh berhimpun untuk membicarakan tentang masalah pendek angan-angan. Orang pertama berkata, "Angan-anganku sudah pendek, sehingga ketika waktu pagi tiba, aku berkata bahwa diriku takkan hidup hingga petang." Dikatakan kepadanya, "Angan-anganmu itu panjang."

Orang kedua berkata, "Demi Allah setiap kali mengangkat kaki, aku tidak yakin dapat meletakkannya kembali di muka bumi," Dikatakan kepadanya, "Angan-anganmu itu panjang."

Orang ketiga pula berkata, "Demi Allah setiap kali menghembuskan nafas, aku tidak yakin dapat menghelanya kembali."

Dalam sebuah riwayat sahih disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bertayammum sejurus selepas membuang hajat. Para sahabat berkata, "Ya Rasulullah, tempat air sangat dekat." Kata baginda, "Aku tidak tahu apakah aku boleh sampai ke tempat air itu." (HR Ahmad)

Iktibar 2:

Muawiyah bin Abu Sufyan hidup selama 80 tahun atau lebih. Dia pernah berkata, "Semua pakaian pernah aku pakai tetapi tiada yang melebihi pakaian takwa. Segala sesuatu telah aku nikmati tetapi tiada yang mengungguli kesabaran. Segala makanan telah kunikmati tetapi tiada yang sehebat bergaul dengan orang-orang soleh. Kelazatan yang tersisa dalam hidupku hanyalah duduk bersama saudara yang dapat mendekatkanku kepada Allah, aku menceritakan segala bebanku dan dia juga menceritakan segala bebannya."

Iktibar 3:

Pada suatu hari, seorang lelaki dari kabilah Ghifar yang sudah berusia 60 tahun dengan janggut panjang memutih hingga ke dada melalui sekumpulan anak kecil yang sedang bermain. Ketika melihat lelaki tua itu, anak-anak kecil tadi ketawa.

Lelaki itu berasa hairan lalu bertanya, "Mengapa kamu ketawa?"

Salah seorang daripada anak-anak kecil tadi membalasnya dengan soalan, "Wahai pakcik, berapa engkau membeli janggut ini?"

Jawab lelaki tua itu, "Wahai anakku, zaman telah menjualnya kepadaku tanpa ada harganya, dan diapun akan memberikan kamu janggut yang sama."

Monday, November 15, 2010

نصيحة لقمان لابنه

يا بني
لا تضحك من غير عجب
ولا تمش من غير أدب
ولا تسأل عما لا يعنيك

يا بني
إنه من يرحم يرحم
ومن يصمت يسلم
 ومن يقل الخير يغنم
ومن يقل الباطل يأثم
ومن لا يملك لسانه يندم

يا بني
إستعن بالكسب الحلال عن الفقر
فإنه ما افتقر أحد قط إلا أصابه ثلاث حصال
رقة في دينه وضعف في عقله وذهاب مروءته
وأعظم من هذه الثلاث استخفاف الناس به


Friday, November 12, 2010

Kerana-Mu Aku Berubah

Alhamdulillah, dengan izin Ilahi saya dapat menyiapkan sebuah buku lagi. saya sangat bersyukur kerana dalam kesibukan bekerja, masih diberi peluang untuk menitipkan ilham yang akhrnya dicetak untuk tatapan umum.

Ilham menulis buku ini tercetus pabila setiap hari saya melihat remaja dan anak gadis sebangsa dengan saya dan seagama dengan saya begitu jauh terlibat dalam kegelinciran akhlak. Mereka bebas bergaul tanpa mengendah batasan syariat. Mereka bebas membuat keputusan tanpa berfikir panjang. Mereka tega menayang kecantikan tanpa rasa takut. Pendek kata, mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan padangan dan hisab Yang Maha Esa.

Lebih jauh daripada itu, saya sebagai ibu ingin mengingatkan diri sendiri bahawa mendidik anak perempuan itu bukannya mudah. Mendidik anak lelaki juga payah. Jika kita sebagai ibu tidak memainkan peranan yang sepatutnya, lihatlah apa yang banyak berlaku kini. Remaja hilang kualiti, remaja malu untuk hidup beragama, remaja malu mengakui dirinya seorang yang beragama Islam.

Sebagai ibu dan guru pertama, di bahu kita jugalah terletak hisab yang paling berat. Kitalah yang bertanggungjawab untuk memastikan kelahiran generasi yang berkualiti dan berakhlak mulia. Bermula dengan diri kita yang mesti menanamkan kualiti dalam diri dan menyuburkan akhlak mulia dalam hati nubari.



Buku ini tidaklah hebat. Tetapi saya mengharap sedikit ilmu di dalamnya akan dimanfaatkan bersama. Kita perlu berubah. Kita mesti berani berubah jika hendak menempah redha Ilahi. Berubah kerana Allah, berubah menuju Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang.

Wednesday, November 10, 2010

Amalkan Selalu...

  • Perbanyakkan menyebut nama Allah daripada menyebut makhluk.

  • Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

  • Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

  • Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.

  • Jangan menyebut-nyebut dan menampakkan keburukan atau keaiban orang lain.

Amalkan Segala Yang Baik

Manusia ada tiga kategori:

Yang berjaya

Hari ini lebih baik daripada semalam.

Yang terpedaya

Hari ini sama seperti semalam.

Yang celaka

Hari ini lebih teruk daripada semalam.



Jika hari anda statik selama dua hari, pasti anda menemui kagagalan. Jadi, pastikan setiap hari kita ada peningkatan, terutama usaha dan amalan kebaikan.



Hidup ini terlalu singkat, justeru lakukanlah amal kebaikan pada hari ini juga.



Pelajar yang selekeh semasa belajar akan selekeh seumur hidup.



Orang yang jarang berfikir paling minimum mempunyai 10,000,000,000 sel otak (neuron)

Orang yang rajin berfikir mempunyai sehingga 1,000,000,000,000 sel otak. Semakin kerap kita berfikir semakin banyak sel otak terbentuk.



Fungsi pancaindera:

Kita akan ingat 10% apa yang dibaca

Kita akan ingat 20% apa yang kita dengar

Kita akan ingat 30% apa yang kita lihat

Kita akan ingat 50% apa yang dilihat dan didengar serentak

Kita akan ingat 70% apa yang disebut

Kita akan ingat 90% apa yang disebut dan dilakukan serentak



Thursday, November 4, 2010

Di Mana Kan Kucari...

cinta silam begitu membahagiakan. setiap kali aku tenggelam di dalamnya, aku mampu tersenyum. kemudian aku menangis. menangis kerana tertanya-tanya, mengapa cinta yang membahagiakan itu tidak kekal lama dalam hidupku...

kuakui, itulah kali pertama dan terakhir aku bahagia. biarlah aku dikata gila mengenang cinta lama tetapi tahukah, dengan cinta itulah aku meneruskan hidup pada hari ini. dengan semangat yang dititip cinta itulah aku masih berani melangkah dan menongkah arus usia hari ini. tanpa cinta itu, aku juga sudah lama mati. tanpa cinta itu, sudah pasti aku sudah merosakkan diri.

sebenarnya, jiwaku tidaklah tabah. sebenarnya, aku cuma berlakon saja. jauh dari pandangan, aku merintih dan merintih. aku menangis dan menangis. aku sebenarnya sudah tidak mampu menghadapi dugaan demi dugaan yang tak henti-henti. dugaan yang berupa sandaran manusia yang tak pandai mengenang budi.

jika dulu, ada seseorang yang berani mempertahankan diriku. ada seseorang yang sanggup mempertahankan cintanya buatku. kala itulah aku berasa betapa indahnya cinta. kami miskin harta tapi anehnya kami bahagia. itulah yang amat kusyukuri tentang cinta itu. itulah yang membuatkan aku begitu mengagungkan cinta itu.

hidup mesti diteruskan selagi ada nyawa. suka atau tak suka, hidup ini mesti juga kulalui meskipun pahit. aku ada amanah yang mesti kujaga dengan sepenuh jiwa. biarlah hati perasaanku terkorban. biarlah segala harapan peribadi punah ranap asalkan amanah yang kutanggung itu tidak dipersoalkan di mahkamah akhirat kelak.

tiada siapa yang mahu peduli harapan peribadiku. walaupun setelah kukorbankan segalanya. aku berusaha menjaga hati semua tapi tika aku susah, tiada siapapun yang sudi bersimpati. malah aku makin jauh dilempar ke tepi. aku seolah-olah tidak dikenali. jika ada sebab mereka datang, jika tiada mereka buang. betapa sukarnya untuk mencari bahagia...sedangkan pengemis yang menadah tangan di kaki lima pun tidak sehina ini.

beginilah hidup yang mesti kulalui...entah untuk berapa lama lagi.

Wednesday, October 27, 2010

Erti Hidup

Angin kau membawa bahteraku ke mana mahumu…

Di kamar daku sering bertanya

Mana tempatku di dunia

Tepuk dada tanyalah selera



Jika daku ingin berjasa

Memberikan hidupku makna

Tepuk dada tanyalah selera



(Korus)

Inginku(kiniku) mengenali

Erti hidup yang diberi

Dunia jadi saksi

Liku-liku kan ku harungi oh…



Tidak lagi kan aku di situ

Menyaksikan kehidupan berlalu

Kan ku kerah darah keringatku



Tiba waktu aku tiada

Tidak akan daku sesali

Daku hidup caraku sendiri



Angin kan ku bawa bahteraku

Ke mana majuku

Kini ku berani mengemudi

Ke mana ku pergi



Bagai guruh bergegar bumi

Aku tetap teguh berdiri

Penuh pengorbanan yang sejati

(Dayang Nurfaizah)




Duhai Diri...

Duhai diri,

Pujuklah hati.

Katakan padanya...
*jangan bersedih jika kau tidak dikenali tetapi berdukalah jika kat tidak mengenali orang lain.

*jangan peduli dengan orang lain yang berluma-lumba mencari teman. walaupun kau tidak dipedulikan, kau masih ada rezeki lain.

*selamat tinggal wahai jejaka yang aku minati. aku mampu melupakanmu jika benar hatimu itu untuk orang lain. benarlah rupa paras menjadi ukuran dan pertimbangan yang terutama. apalah yang ada pada diriku ini...

*ingat selalu kata-katanya: kita tak ada kaitan dengan perasaan walau semesra manapun kita di mata orang. mereka tak tahu hakikat ini!

* satu-persatu ceritaku dengannya luput. aku tahu, dia yang mengharapkannya begitu.

Monday, October 25, 2010

Keluargaku Syurgaku

Gaya hidup hari ini seakan-akan memaksa setiap pasangan suami-isteri meluangkan terlalu banyak masa untuk bekerja dan mencari wang. Balik ke rumah hanya untuk tidur. Esoknya, awal-awal lagi sudah keluar semula. Anak-anak usah dikata, bagaikan semua tanggungjawab sebagai ibu bapa diserahkan kepada pembantu rumah, nurseri atau taska.

Adakalanya, ibu bapa hampir terlupa bahawa merekalah guru pertama bagi anak-anak. Mereka hampir lupa bahawa di bahu merekalah terletak beban memberi nafkah batin kepada anak-anak, iaitu pendidikan keagamaan. Maka tak hairanlah, jika nafkah zahir sahaja yang diutamakan, anak-anak membesar tanpa perhatian, belaian, penghargaan, kasih-sayang dan lebih malang lagi, tanpa penerapan nilai Islam dalam jiwa mereka.

Apa salahnya jika ayah ibu sendiri yang mengajar anak mengaji? Apa salahnya jika meluangkan sedikit masa untuk makan bersama? Apa salahnya jika meluangkan beberapa jam ketika anak mengulang kaji pelajaran? Sebenarnya, semua yang dikorbankan pada masa ini demi mencari kelapangan hidup belum pasti akan memberi kebahagiaan pada keluarga pada masa akan datang. Oleh sebab itu, janganlah terlalu menghambakan diri kepada material sehingga mengorbankan harta sedia ada yang kita sudah ada, iaitu permata hati zuriat kita. Mereka adalah amanah dan bukti kasih yang tidak patut kita kesampingkan.

Mari kita semak-semak jika ciri-ciri ini ada dalam keluarga. Sesebuah keluarga menghadapi risiko menjadi KELUARGA CELARU jika...

1. Masalah tidak dikongsi bersama
2. Ahli keluarga mengambil penyelesaian negatif
3. Membuka ruang kepada penyakit mental, kecelaruan mental, jenayah atau perbuatan yang merosakkan diri sendiri.
4. Kurang kasih sayang, tidak sefahaman
5. Keperluan ahli keluarga diabaikan
6. Gagal menghormati privasi dan hak orang lain
7. Keganasan fizikal dan mental.
8. Krisis nilai
9. Keluarga tidak bercerai tetapi sentiasa berfkonflik
10. Menafikan masalah sedia ada

Masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan. Lebih baik halang ia sebelum berlaku daripada menderita menanggung penyesalan.

Sunday, October 24, 2010

Apa Dah Jadi?

Dia menekup wajah dengan jari-jemari runcingnya itu untuk menahan sendu namun air mata tetap deras mengalir. Manik-manik jernih itu menitis melalui jemarinya dan menyusuri lengannya hinggalah akhirnya diserap oleh bantal kapas yang diampu. Dalam satu masa segala nikmat yang dicintai disentap kasar darinya bagaikan bagaikan malakulmaut merentap nyawa seorang pembunuh!

Setelah itulah dia tahu selama ini dia dan jawatannya tidak diiktiraf oleh komiti kelasnya. Agaknya selama ini selautan sumpah seranah pernah dihambur di belakangnya kerana menjawat jawatan itu. Tuhan, makhluk-Mu buta. Seorang yang benar-benar ikhlas dalam tugasnya tidak pernah dihargai. Ketika dia tersungkur, tiada siapapun yang membantunya untuk bangun semula.

Akhirnya rebahlah dia dalam luka yang parah...

Dan lagi, sakit matanya melihat buah hatinya mencalonkan dan menyokong gadis lain. Hatinya terbakar melihat perlakuan itu tetapi demi janji mereka untuk 'menjadi  api kecil', maka dia masih berharap arjunanya masih setia pada janji. Sungguh, apabila termeterai satu-satu ikatan maka ujian-ujian juga pasti mendatang.

Wednesday, September 15, 2010

Duhai Gadis

Duhai gadis..!



Duhai gadis,
berikan aku beberapa detik daripada waktumu.
Sejenak, renungilah kata-kataku ini.

Keremajaanmu menyegarkan pandangan, melimpahkan nyaman pada alam.
 Cahaya keriangan di wajahmu adalah kemilau senjakala yang menawan.
Madu yang menitiskan sarinya dari bibir langsung ke hati adalah suara lembut merdu bibir mulusmu.

Gadisku,
dengan keremajaan kaubisa saja menakluk dunia dalam lalai dan leka tanpa kesedaran.

Duhai gadis,
balikkan cermin di hadapanmu itu barang seketika.
Palingkan wajahmu sejenak.
Berkatalah ke dalam diri...

Kesegaran dan kejelitaanmu hanyalah fana belaka.
Balutan gemerlap permata intan hanyalah hiasan.
Mendongaklah dan lihat kerdipan bintang-bintang.
Sedarlah, dunia ini hanyalah secebis daripada erti kehidupan.

Selami dasar hatimu dan berbisiklah pada diri.
Alangkah kosongnya jiwa.
Alangkah malunya roh kita, tiada hiasan apa-apa.

Duhai gadis,
berfikirlah untuk menjadi insan berguna,
yang seisi dunia merasakan rahmat kehadirannya.

Salutilah dirimu dengan iman,
kerana iman itu sangat manis pada pandangan, juga amat manis pada perasaan.
Usahlah merasa resah lalu menyolek diri, inginkan wajah lain yang lebih indah.
Rasailah bangga dengan apa yang telah dikurniakan Ilahi.

Gadisku,
hatimu bersihkanlah!

Kemanisan iman sukar dicapai,
tetapi janji Tuhan, Jannah itu bukan mimpi...



Friday, September 3, 2010

Stings - Kau Tetap Ku Hajati


oh Tuhan,
tiba-tiba je teringat nak dengar lagu ni.
suatu ketika dulu, lagu ini sangat terkesan di jiwaku.
pabila kudengar semula, nyata kesan itu masih berbekas dalam jiwa...

Wednesday, September 1, 2010

Khatimah Cinta...bukan sekadar lagu.


saya menyukai lagu ini kerana liriknya yang sangat dalam. Perpisahan dalam lagu ini boleh didefinisikan sebagai perpisahan antara dua insan yang sudah lama hidup bersama...
sedih  dan teramat sakit untuk berpisah tetapi terpaksa merelakannya jua...

Kasihmu Semerbak Firdausi di TV1

Monday, August 30, 2010

Sajak Syed Qutb

Saudara,


seandainya kau tangisi kematianku

dan kau sirami pusaraku

dengan air matamu

maka di atas tulang-tulangku

yang hancur luluh

nyalakanlah obor buat umat ini

dan teruskanlah perjalanan

ke gerbang jaya



Saudara,

kematianku adalah suatu perjalanan

mendapatkan kekasih

yang sedang merindu

taman-taman di syurga Tuhanku

bangga menerimaku

burung-burungnya

berkicau riang menyambutku

bahagialah hidupku di alam abadi



Saudara,

puaka kegelapan pasti akan hancur

dan alam ini akan disinari fajar lagi

biarlah rohku terbang

mendapatkan rindunya

janganlah gentar

berkelana di alam abadi

nun di sana fajar sedang memancar



(ditulis beberapa jam sebelum menemui syahid di tali gantung pada 29 Ogos 1966)

Sayu sekali pabila mengalunkan sajak ini semula...
Betapa teguhnya alim ulama terdahulu mempertahankan Islam. Betapa hebatnya pendirian mereka tatkala mengambil Islam sebagai deenul hayah walaupun nyawa berakhir di tali gantung.
Kita? Di mana taraf keislaman kita, hanya pada nama sahajakah???

Friday, August 6, 2010

Mangkuk yang Cantik, Madu dan Sehelai Rambut

Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya Abu Bakar r.a., Umar r.a., Uthman r.a., bertamu ke rumah Ali r.a. Di rumah Ali r.a., isterinya Saidatina Fathimah r.ha. puteri Rasulullah s.a.w. menghidangkan mereka madu yang diletakkan di dalam mangkuk yang cantik. Ketika semangkuk madu itu dihidangkan, sehelai rambut terikut di dalam mangkuk itu. Rasulullah s.a.w. kemudian meminta kesemua sahabatnya untuk membuat suatu perbandingan terhadap ketiga-tiga benda tersebut (mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut).


Abu Bakar r.a. berkata, "Iman itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang beriman itu lebih manis daripada madu dan mempertahankan iman itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut.”

Umar r.a. berkata, "Kerajaan itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Seorang raja itu lebih manis daripada madu, dan memerintah dengan adil itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut.”

Uthman r.a. berkata, "Ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Orang yang menuntut ilmu itu lebih manis daripada madu, dan beramal dengan ilmu yang dimiliki itu lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Ali r.a. berkata, "Tetamu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Menjamu tetamu itu lebih manis daripada madu dan membuat tetamu senang hati sampai dia kembali ke rumahnya adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."



Fatimah r.ha. berkata, "Seorang wanita itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik. Wanita yang berpurdah itu lebih manis daripada madu dan mendapatkan seorang wanita yang tak pernah dilihat orang lain kecuali mahramnya lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seorang yang mendapat taufik untuk beramal adalah lebih cantik daripada mangkuk yang cantik ini. Beramal dengan amalan yang baik itu lebih manis daripada madu dan berbuat amal dengan ikhlas adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."



Malaikat Jibril a.s. berkata, "Menegakkan sendi agama itu lebih cantik daripada sebuah mangkuk yang cantik. Menyerahkan diri; harta; dan waktu untuk usaha agama lebih manis daripada madu dan mempertahankan usaha agama sampai akhir hayat lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Allah s.w.t. berfirman, "Syurga-Ku lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu. Nikmat syurga-Ku lebih manis daripada madu dan jalan menuju syurga-Ku adalah lebih sulit daripada meniti sehelai rambut."

Thursday, July 29, 2010

DARJAH-DARJAH KEBESARAN, BINTANG DAN PINGAT MALAYSIA

* DARJAH YANG MAHA UTAMA KERABAT DIRAJA MALAYSIA (D.K.M.) Darjah kebesaran ini mempunyai satu pangkat sahaja dan bilangan ahli-ahlinya terhad seramai sepuluh orang. Darjah kebesaran ini dikurniakan kepada setiap Baginda Raja yang telah ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong.

* DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA (D.M.N.) Darjah kebesaran ini juga mempunyai satu pangkat sahaja. Bilangan ahli-ahlinya terhad kepada 30 orang, 15 daripadanya mungkin daripada Anak-anak Raja Negara Luar, Ketua-ketua Negara atau orang-orang yang amat ternama.



DARJAH-DARJAH YANG MULIA PANGKUAN NEGARA

* SERI MAHARAJA MANGKU NEGARA (S.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Pertama. Darjah kebesaran ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk jumlah warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat. Penyandang Darjah ini membawa gelaran ‘Tun’ dan isteri penyandang bergelar ‘Toh Puan’.

* PANGLIMA MANGKU NEGARA (P.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Kedua. Darjah kebesaran ini membawa gelaran ‘Tan Sri’ dan isteri penyandang bergelar ‘Puan Sri’. Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 75 orang, tidak termasuk warganegara asing yang menerimanya sebagai anugerah kehormat.

* JOHAN MANGKU NEGARA (J.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Ketiga. Jumlah penyandang terhad kepada 1,000 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

* KESATRIA MANGKU NEGARA (K.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Keempat. Jumlah penyandang tidak terhad

* AHLI MANGKU NEGARA (A.M.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara Pangkat Kelima. Jumlah penyandang tidak terhad.

* PINGAT PANGKUAN NEGARA (P.P.N.) Ia merupakan pingat Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara. Jumlah penyandang tidak terhad.



DARJAH-DARJAH YANG MULIA SETIA MAHKOTA MALAYSIA

* SERI SETIA MAHKOTA (S.S.M.) Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Pertama. Anugerah ini membawa gelaran ‘Tun’ dan isteri penyandang bergelar ‘Toh Puan’. Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 25 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.

* PANGLIMA SETIA MAHKOTA (P.S.M.) Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Kedua. Anugerah ini membawa gelaran ‘Tan Sri’ dan isteri penyandang bergelar ‘Puan Sri’. Keanggotaan dalam Darjah ini terhad kepada 450 orang, tidak termasuk anugerah kehormat yang dikurniakan kepada warganegara asing.

* JOHAN SETIA MAHKOTA (J.S.M.) Merupakan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia Pangkat Ketiga. Jumlah anugerah ini terhad kepada 1,200 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.



DARJAH YANG MULIA JASA NEGARA

* PANGLIMA JASA NEGARA (P.J.N.) Merupakan Darjah Yang Mulia Jasa Negara Pangkat Pertama. Anugerah ini membawa gelaran ‘Datuk’ dan isteri penyandang bergelar ‘Datin’. Keanggotaan dalam darjah ini terhad kepada 300 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.



DARJAH-DARJAH YANG AMAT DIHORMATI SETIA DIRAJA

* PANGLIMA SETIA DIRAJA (P.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Pertama. Jumlah anugerah ini terhad kepada 200 orang, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat. Anugerah ini membawa gelaran ‘Datuk’ dan isteri penyandang bergelar ‘Datin’.

* JOHAN SETIA DIRAJA (J.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja pangkat Kedua.

* KESATRIA SETIA DIRAJA (K.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Ketiga.

* BENTARA SETIA DIRAJA (B.S.D.) Merupakan Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja Pangkat Keempat.



DARJAH BAKTI

* DARJAH BAKTI (D.B.) “Berbakti Untuk Negara”. Ia dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang telah masyhur namanya di Malaysia dan juga di kalangan antarabangsa serta telah memberi sumbangan cemerlang dalam kemajuan seni, sains dan kemanusiaan. Anugerah ini adalah dihadkan kepada 10 orang sahaja.



DARJAH-DARJAH GAGAH PERKASA

* SERI PAHLAWAN GAGAH PERKASA (S.P) Ini merupakan anugerah yang tertinggi sekali dan yang paling kanan dalam senarai keutamaan anugerah Persekutuan. Bintang Kehormat ini dikurniakan kepada sesiapa sahaja yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani serta penuh pengorbanan.

* PANGLIMA GAGAH BERANI (P.G.B.) Dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa dalam menghadapi musuh.

* JASA PERKASA PERSEKUTUAN (J.P.P.) Juga dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa di luar medan peperangan.

* PINGAT TENTERA UDARA (P.T.U.) Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia kerana keperwiraan atau taat setia yang teristimewa ketika menjalankan kewajipan penerbangan dalam masa operasi ataupun tidak.

* KEPUJIAN PERUNTUKAN KEBERANIAN (K.P.K.) Dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera dan Pasukan Polis yang telah menunjukkan atau melakukan sesuatu yang dianggap gagah berani tetapi tindakan itu tidaklah sebegitu tinggi untuk membolehkan mereka dikurniakan pingat.



BINTANG DAN PINGAT BAGI PERKHIDMATAN CEMERLANG DAN KELAKUAN TERPUJI

* PINGAT KEBAKTIAN (P.K.) Dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota-anggota pasukan Tentera Sukarela dan Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

* PINGAT KHIDMAT BERBAKTI (P.K.B.) Dikurniakan kerana khidmat-khidmat am anggota-anggota Angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform

* PINGAT PERKHIDMATAN AM (P.P.A.) Dikurniakan untuk mengiktiraf dan menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota tetap Angkatan Tentera Persekutuan dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.

* PINGAT PERKHIDMATAN SETIA (P.P.S.) Dikurniakan untuk menghargai khidmat lama dan kelakuan terpuji anggota tetap Angkatan Tentera dan semua Pasukan Perkhidmatan Beruniform.



PINGAT-PINGAT PERINGATAN

* PINGAT PERINGATAN MALAYSIA (P.P.M.) Dibuat dalam tiga peringkat, iaitu emas, perak dan gangsa. Pingat ini khusus untuk mereka yang telah banyak memberikan khidmat cemerlang dalam usaha menubuhkan persekutuan Malaysia hingga 31 Ogos 1965.



SUMBER: Buku Cenderamata, Istiadat Mengadap Dan Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran, Bintang-Bintang, Dan Pingat-Pingat Malaysia Pada 3 Jun 2000, ISTANA NEGARA, Kuala Lumpur.



SUSUNAN KEUTAMAAN BAGI ANUGERAH-ANUGERAH PERSEKUTUAN


1 SERI PAHLAWAN GAGAH PERKASA S.P.

2 DARJAH YANG MAHA UTAMA KERABAT DIRAJA MALAYSIA D.K.M.

3 DARJAH UTAMA SERI MAHKOTA NEGARA D.M.N.

4 SERI MAHARAJA MANGKU NEGARA S.M.N.

5 SERI SETIA MAHKOTA MALAYSIA S.S.M.

6 DARJAH BAKTI D.B.

7 PANGLIMA MANGKU NEGARA P.M.N

8 PANGLIMA SETIA MAHKOTA P.S.M.

9 PANGLIMA JASA NEGARA P.J.N.

10 PANGLIMA SETIA DIRAJA P.S.D.

11 JOHAN MANGKU NEGARA J.M.N.

12 JOHAN SETIA MAHKOTA J.S.M.

13 JOHAN SETIA DIRAJA J.S.D.

14 KESATRIA MANGKU NEGARA K.M.N.

15 KESATRIA SETIA DIRAJA K.S.D.

16 AHLI MANGKU NEGARA A.M.N.

17 PINGAT PANGKUAN NEGARA P.P.N.

18 BENTARA SETIA DIRAJA B.S.D.

19 PANGLIMA GAGAH BERANI P.G.B.

20 JASA PERKASA PERSEKUTUAN J.P.P.

21 PINGAT TENTERA UDARA P.T.U.

22 PINGAT KEBAKTIAN P.K.

23 PINGAT KHIDMAT BERBAKTI P.K.B.

24 PINGAT PERKHIDMATAN AM P.P.A.

25 KEPUJIAN PERUTUSAN KEBERANIAN K.P.K.

26 PINGAT PERKHIDMATAN SETIA P.P.S.

27 PINGAT PERINGATAN MALAYSIA P.P.M.

28 PINGAT-PINGAT PERTABALAN

Kesantunan Berbahasa Lambang Bangsa

1. Cara sapaan lisan/bertulis menurut Bahasa Melayu dengan sopan santun supaya tidak dianggap sebagai biadab atau tidak berbudi bahasa.

2. Kehalusan budi bahasa dalam memakai atau menggunakan bahasa atau kesopanan ketika menggunakan bahasa.

3. Dalam kesantunan berbahasa, Bahasa Melayu mempunyai sistem sapaan dan panggilan yang tersendiri.

4. Sistem sapaan dan panggilan ini melibatkan penggabungan gelaran, rujukan hormat dan ganti nama.

5. Kesantunan berbahasa mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Penggunaan kosa kata dan ganti nama diberi perhatian khusus agar sesuai dengan kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban hubungan.

6. Bahasa halus mengikut Asmah Haji Omar ``disamakan dengan pendidikan yang penuh dengan adab tata tertib.''

7. Kesantunan berbahasa juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa halus, termasuk di dalamnya  laras bahasa istana. Antara ungkapan berkenaan adalah patik, tuanku, berangkat, bersiram, bersemayam, junjung kasih, bercemar duli dan sebagainya.

8. Kata dan ungkapan bertatasusila banyak digunakan dalam keadaan biasa. Pemilihan kata dan ungkapan cuma bergantung kepada kedudukan, pangkat, umur dan keakraban hubungan.

9, Lihat contoh berikut:


Pak digunakan untuk orang lelaki yang sama sebaya dengan ayah kendiri.

Mak digunakan untuk orang perempuan yang kira-kira sebaya dengan emak kendiri

Tok digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang kira-kira sebaya dengan datuk atau nenek kendiri.

Abang digunakan untuk orang lelaki yang tidak setua ayah kendiri dan juga tidak semuda kendiri.

Kakak digunakan untuk orang perempuan yang tidak setua emak kendiri dan juga tidak semuda kendiri.

Adik digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang lebih muda daripada kendiri.



10. Gelaran Pak atau Mak ketika berkomunikasi ditambah dengan Cik, menjadi Mak Cik atau Pak Cik

11. Jenama kekeluargaan terbahagi kepada:

i. Jenama kekeluargaan pertalian darah (Pak Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Lang, Mak Lang, Pak Njang, Mak Njang, Pak Cik, Mak Cik, Pak Su, Mak Su.

Gabungan nama kekeluargaan asas (Abang (bang) dan Kak dengan jenama kekeluargaan pertalian darah hanya terbatas kepada Long, Ngah dan Cik seperti Bang Long, Kak Long, Bang Ngah, Kak Ngah, Bang Cik dan Kak Cik.



ii. Jenama kekeluargaan ikatan perkahwinan

Diwakili oleh kata menantu, mentua dan ipar. (Pak Mentua, Mak Mentua dan Tok Mentua). Ipar digunakan untuk merujuk kepada ahli-ahli dalam keluarga suami atau isteri selain menantu dan mentua. Contoh: abang ipar, kak ipar, adik ipar, mak long ipar, mak ngah ipar dan sebagainya.


12. Gelaran Pergaulan Bebas

Biasanya Cik digunakan untuk perempuan yang belum berkahwin, manakala Encik untuk lelaki sahaja.


13. Gelaran Pergaulan Tak Bersahaja (Formal)

Tuan - digunakan untuk lelaki yang lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri, dan orang lelaki bergelar Haji, Doktor, Profesor dan Syed.

Encik, Cik - boleh digunakan untuk orang lelaki yag lebih tinggi pangkatnya daripada kendiri seperti Encik Ahmad atau Cik Ahmad.

Puan - untuk perempuan sahaja yang pangkatnya lebih tinggi daripada kendiri, dan perempuan yang mempunyai gelaran Doktor, Profesor dan sebagainya.

Saudara - digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang seumur dengan kendiri atau lebih muda, dan hubungannya belum rapat dengan kendiri atau digunakan dalam rujukan kepada ahli-ahli dalam mesyuarat, perbahasan dan sebagainya.

Saudari - digunakan untuk perempuan sahaja dalam konteks yang sama dengan penggunaan gelaran saudara.

Tetuan - hanya digunakan dalam surat rasmi yang ditujukan kepada para pemilik atau pentadbir syarikat perniagaan (termasuk syarikat guaman) seperti: Tetuan Syarikat Sinaran Sdn. Bhd.)


14. Gelaran Warisan

Contoh Raja (Perak, Selangor), Pangeran, Pangeran Anak, Pangeran Muda (Brunei Darussalam) Tengku (Kelantan, Pahang, Kedah, Terengganu).

Gelaran keturunan orang-orang besar; Megat dan Puteri (Perak), Nik (Kelantan), Wan (Kelantan, Terengganu), Abang (Sarawak); Datu (Sabah), Awangku, Pangeran dan Dayangku (Brunei Darussalam), Tan (di Kedah) dan Tun (Terengganu)

Gelaran warisan kepada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti Syed atau Sayid bagi lelaki dan Syarifah bagi perempuan. Sesetengah pihak mengatakan bahawa gelaran Syarif, Syeikh dan Siti juga tergolong ke dalam gelaran jenis ini.

Gelaran warisan daripada keturunan yang berasal dari luar Malaysia seperti Daeng (Bugis), Sidi, Sutan (Minangkabau), Teuku dan Teungku (Aceh).

15. Gelaran Kurniaan

Contohnya  Tun, Toh Puan, Puan Sri, Datuk (Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk Setia), Datuk (Datuk Patingi, Datuk Amar), Datin Paduka (gelaran yang dikurniakan oleh kerajaan negeri Selangor), Toh Puan (isteri kepada Datuk di Terengganu)

Pendeta Za'aba (gelaran kurniaan yang diberikan oleh pertubuhan seperti Kongres Bahasa Melayu Ketiga (1956). Gelaran Bapa Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


16. Gabungan Gelaran

(a) kekeluargaan + keagamaan - Pak Haji

(b) Pergaulan Tak Bersahaja (kecuali saudara) + Keagamaan - Tuan Haji

(c) Kekeluargaan + warisan (hanya Ungku, Engku, Wan, Nik) - Pak Ungku, Mak Ungku, Mak Wan, Pak Nik

(d) Pergaulan Tak Bersahaja + Keagamaan + Warisan (hanya Nik). Contoh: Tuan Haji Nik

(e) Warisan (Kecuali Nik) + Keagamaan. - Raja Haji

(f) Kurniaan Kerajaan + Akademik/Ikhtisas + Warisan + Keagamaan - Tan Sri Prof. Raja Haji Osman


17. Rujukan Hormat Orang Yang Disapa Rujukan Hormat

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda

Sultan, Raja, Sultanah, Tengku Ampuan, Raja Permaisuri: Duli Yang Maha Mulia

Balu Raja: Yang Maha Mulia

Raja Muda atau Tengku Mahkota: Duli Yang Teramat Mulia atau Yang Teramat Mulia

Kerabat Diraja Karib: Yang Amat Mulia

Gelaran Warisan: Yang Mulia

Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri: Yang Amat Berhormat

Menteri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Wakil Rakyat): Yang Berhormat

Wakil Rakyat yang mempunyai gelaran Tengku atau Raja: Yang Berhormat Mulia

Tun, Toh Puan: Yang Amat Berbahagia

Yang mempunyai gelaran kurniaan kerajaan (selain Tun dan Toh Puan) atau/dan gelaran ikhtisas yang formal: Yang Berbahagia

Ketua Hakim Negara: Yang Amat Arif

Ketua Polis Negara: Yang Amat Setia

Hakim, Kadi: Yang Arif

Mufti dan Pemimpin Islam: Sahibul Samahah

Ketua jabatan tanpa gelaran: Yang Berusaha

Sumber: tutor.com

*** alangkah santunnya Bahasa Melayu. Bagaimana pula dengan Orang Melayu???



Mari Menjadi Umat Yang Berjaya

Antara ciri-ciri atau sifat yang membawa kepada kejayaan seperti yang digambarkan dalam Al-Quran adalah:



1. Orang-orang yang membersihkan jiwanya - Al-A’la ayat 14

Sesungguhnya berjayalah orang yang - setelah menerima peringatan itu - berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh),



2. Orang-orang yang mendapat petunjuk Tuhan. - Al-Baqarah ayat 5

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.



3. Orang menyeru kepada yang baik dan menegah dari perkara yang mungkar - Ali Imran ayat 104

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.



4. Orang yang beriman dengan Rasulullah,s.a.w. yang memuliakannya, yang menolong dan membelanya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkannya - Al-A'raf ayat 157

Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka.. Maka orang-orang yang beriman kepada-Nya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut Nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.



5. Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya - At-Taubah ayat 88

(Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang yang beriman bersamanya, berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga yang berjaya.



6. Orang yang beriman dan taat serta patuh. - An-Nur ayat 51

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan Kami taat". Mereka itulah orang-orang ang beroleh kejayaan.



7. Orang yang membelanjakan sebahagian rezekinya kepada kaum keluarga, orang miskin dan musafir yang perlukan bantuan. - Ar-Rum ayat 38

Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian pang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.



8. Orang yang dipelihara daripada kebakhilan. - At-Taghaabun ayat 16

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan (dalam keadaan kamu yang ada itu), padahal belum lagi terbukti kepada Allah (sebagaimana yang diketahui-Nya) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan yang tidak mengambil teman-teman rapat (untuk mencurahkan rahsia kepada mereka), selain daripada Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman? Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu kerjakan.



9. Orang mukmin yang khusyuk sembahyangnya, yang menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia, yang membayar zakat, yang memelihara kemaluannya, yang memelihara amanah dan janji dan orang yang menjaga ibadah sembahyangnya. - Al-Mukminun ayat 1-11.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatan. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.



10. Orang yang bertakwa. - Al-Maidah ayat 100

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.



11. Orang yang bertaubat. - An-Nur ayat 31

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.



12. Orang yang mengingati Allah. - Al-A'Raf ayat 69

Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan tentang datangnya kepada kamu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, melalui seorang lelaki dari golongan kamu, untuk memberi peringatan kepada kamu? Dan kenanglah ketika Allah menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu Berjaya.



13. Orang yang sujud dan rukuk yang mengabdi kepada Allah dan membuat kebaikan. - Al-Hajj ayat 77

Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat).



14. Orang yang berat timbangan amalnya. - Al-Mukminun ayat 102

Maka sesiapa yang berat timbangan amal baiknya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.


***marilah kita berusaha memenuhi kriteria di atas supaya termasuk dalam dalam kalangan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.





Tuesday, July 20, 2010

KENANGAN DALAM LAGU

NAFAS KEKASIH by Fotograf

Ingin kumemuja seribu bahasa
engkau yang kudamba untuk selamanya
walaupun kaujauh di mata.

Oh kekasih percayalah
gelisahku makin mendalam
hebat dilanda gelora cinta
mimpi indah berdua tanpa suara
sekadar senyum manja
dapat kutafsir makna.

Kita kekasih tak dapat dipisahkan lagi
dalam mimpi
tak dipisahkan lagi kenyataan ini.

Aku cinta kepadamu
sehingga di saat nafasku terhenti
kekasih percayalah kaulah segalanya
kekasih percayalah...kaulah segalanya.



TERIMA SAYANG CINTAKU SEADANYA by Arrow

Bukan pura-pura cinta kepadamu
setulus perasaan yang datang dari dalam jiwa
hanya engkau saja merajai hati
mengisi kekosongan kekeringan
jiwaku yang tandus sekian lama

Pergilah saat duka lara
lupakan masa derita
hadirmu mengubah segala
dunia bagaikan syurga

Luka di hatiku engkaulah pengubatnya
cintamu yang syahdu satu dalam berjuta
terima sayang cintaku seadanya
jangan dikesalkan aku pernah terluka
hanya pada Tuhan kuserahkan segalanya
tiap perancangan suka duka manusia
ditentukan-Nya

Moga dikekalkan bahagia selamanya
sementara di dunia yang fana
engkaulah cintaku satu-satunya.



PERCAYALAH SAYANG by Vince

Engkau yang mula ku kenali
Dari usia muda untuk bercinta
Kini dewasa merubah hati
Semakin dalam kasih yang kurasa
Namun berat kulafazkan harapanku


Percayalah sayang
Kuteman kulah kasih yang kekal selamanya
Oh… oh…
Kaulah yang kusayang
Tak pernah kurasa sayang yang sungguh bermakna
Percayalah sayang

Sudah biasa kuhapuskan
Airmata kecewa kautangiskan
Tak bisa kubiarkan kaurebah sendiri
Hatimu milikku abadi
Namun kelu untuk berbicara
Mengapa sukarnya


Percayalah sayang
Kuteman kulah kasih yang kekal selamanya
Oh… oh…
Kaulah yang kusayang
Tak pernah kurasa sayang yang sungguh bermakna

Dengarkanlah sayang
Tiada seindah yang kita bina
Jangan kauragukan
Percayalah sayang.


*kadang kala, lagu-lagu yang berkumandang itu, mirip-mirip dengan hidup yang sedang kita lalui...jika ia lagu gembira, kita akan tersenyum dan mahu mendengarnya lagi dan lagi. Namun, jika lagu sedih, emosi juga akan dibawa melayang bersama dengan kesyahduan lirik lagu itu...

Thursday, July 1, 2010

YANG DICINTAI ALLAH DAN RASUL-NYA

menurut al-Quran dan as-Sunnah.



1. Orang yang sabar. (Surah Ali Imran:146)

2. Orang yang bersatu-padu berperang pada jalan Allah. (Surah As-Saff:4)

3. Orang yang adil. (Surah Al-Hujurat:9)

4. Orang yang bertawakkal. (Surah Ali Imran:159)

5. Orang yang berbuat baik. (Surah Al-Baqarah:195)

6. Orang yang bertakwa. (Surah Ali Imran:76)

7. Orang yang teliti dan tekun.

8. Orang yang suka membantu orang yang malang.

9. Orang yang lemah-lembut.

10. Orang yang peramah.

11. Orang yang taat.

12. Orang yang mempunyai pekerjaan.

13. Orang yang rendah hati.

14. Orang yang selalu mengulangi doanya.

15. Orang yang menunaikan fardu dan sunat.

16. Orang yang mensyukuri nikmat.

17. Orang yang cemburu kerana kebaikan.

18. Orang yang tidak banyak cakap.

19. Orang yang sopan-santun.

20. Wanita yang tidak mandul.

21. Orang yang mengutamakan hal yang penting.

22. Orang yang suka memuji-Nya.

23. Orang yang mencintai anaknya.

24. Orang yang berakhlak tinggi.

25. Orang yang kuat imannya.

26. Orang yang pemaaf.

27. Orang yang kekal dalam kebiasaan yang baik.

28. Orang yang suka memberi nasihat.

29. Orang yang suka berbuat baik.

30. Penguasa yang adil.

31. Nama yang baik.

32. Orang yang solat, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad.

33. Orang yang selalu berzikir.

34. Orang yang suka menolong sesama manusia.

35. Orang yang selalu menggembirakan orang lain.

36. Orang yang tidak lancang berbicara.

37. Orang yang mendasarkan kesukaan dan kebencian kerana Allah.

38. Orang yang diberi nama ‘hamba Allah’ (Abdul/Abdullah).

39. Masjid.

40. Orang yang menggunakan bahasa yang baik.

41. Orang yang berketrampilan dan cekap.

42. Orang yang memberi bantuan belajar.

43. Orang yang berakhlak luhur.

44. Rumah penginapan dan pendidikan untuk anak yatim.

Wednesday, June 30, 2010

GURINDAM 12

oleh RAJA ALI HAJI


Gurindam I

Ini gurindam pasal yang pertama:

Barang siapa tiada memegang agama,sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama.

Barang siapa mengenal yang empat,maka ia itulah orang ma'rifat.

Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahnya tiada ia menyalah.

Barang siapa mengenal diri, maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari.

Barang siapa mengenal dunia, tahulah ia barang yang terpedaya.

Barang siapa mengenal akhirat, tahulah ia dunia melarat.


Gurindam II

Ini gurindam pasal yang kedua:

Barang siapa mengenal yang tersebut, tahulah ia makna takut.

Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang.

Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua temasya.

Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat.

Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji.


Gurindam III

Ini gurindam pasal yang ketiga:

Apabila terpelihara mata, sedikitlah cita-cita.

Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah damping.

Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah.

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan.

Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senonoh.

Anggota tengah hendaklah ingat, di situlah banyak orang yang hilang semangat.

Hendaklah peliharakan kaki, daripada berjalan yang membawa rugi.


Gurindam IV

Ini gurindam pasal yang keempat:

Hati kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun roboh.

Apabila dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak panah.

Mengumpat dan memuji hendaklah pikir, di situlah banyak orang yang tergelincir.

Pekerjaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala.

Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong.

Tanda orang yang amat celaka, aib dirinya tiada ia sangka.

Bakhil jangan diberi singgah, itupun perampok yang amat gagah.

Barang siapa yang sudah besar, janganlah kelakuannya membuat kasar.

Barang siapa perkataan kotor, mulutnya itu umpama ketur.

Di mana tahu salah diri, jika tidak orang lain yang berperi.


Gurindam V

Ini gurindam pasal yang kelima:

Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.


Gurindam VI

Ini gurindam pasal yang keenam:

Cahari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan obat.

Cahari olehmu akan guru, yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri, yang boleh menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan.

Cahari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi.


Gurindam VII

Ini Gurindam pasal yang ketujuh:

Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah tanda hampir duka.

Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila mendengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.


Gurindam VIII

Ini gurindam pasal yang kedelapan:

Barang siapa khianat akan dirinya, apalagi kepada lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya, orang itu jangan engkau percaya.

Lidah yang suka membenarkan dirinya, daripada yang lain dapat kesalahannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabar, biar pada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menampakkan jasa, setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Kejahatan diri sembunyikan, kebaikan diri diamkan.

Keaiban orang jangan dibuka, keaiban diri hendaklah sangka.


Gurindam IX

Ini gurindam pasal yang kesembilan:

Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan, bukannya manusia yaitulah syaitan.

Kejahatan seorang perempuan tua, itulah iblis punya penggawa.

Kepada segala hamba-hamba raja, di situlah syaitan tempatnya manja.

Kebanyakan orang yang muda-muda, di situlah syaitan tempat berkuda.

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan, di situlah syaitan punya jamuan.

Adapun orang tua yang hemat, syaitan tak suka membuat sahabat

Jika orang muda kuat berguru, dengan syaitan jadi berseteru.


Gurindam X

Ini gurindam pasal yang kesepuluh:

Dengan bapa jangan durhaka, supaya Allah tidak murka.

Dengan ibu hendaklah hormat, supaya badan dapat selamat.

Dengan anak janganlah lalai, supaya boleh naik ke tengah balai.

Dengan isteri dan gundik janganlah alpa, supaya kemaluan jangan menerpa.

Dengan kawan hendaklah adil, supaya tangannya jadi kafill.


Gurindam XI

Ini gurindam pasal yang kesebelas:

Hendaklah berjasa, kepada yang sebangsa.

Hendaklah jadi kepala, buang perangai yang cela.

Hendaklah memegang amanat, buanglah khianat.

Hendak marah, dahulukan hajat.

Hendak dimulai, jangan melalui.

Hendak ramai, murahkan perangai.


Gurindam XII

Ini gurindam pasal yang kedua belas:

Raja muafakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.

Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.

Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.

Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.

Sunday, June 6, 2010

Tentang Tidur

“Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.
Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena,” kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.

Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.

Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

“Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

“Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Seseorang akan rasa mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

“Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

“Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang,” katanya.

Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

“Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

“Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi,” katanya.

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.

Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

“Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

“Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.

“Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu,” jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.


Sumber: Kosmo
Related Posts with Thumbnails